2 ditangkap disyaki rancang serangan

2 ditangkap disyaki rancang serangan

BRUSSELS, 29 Dis – Polis Belgium telah menangkap dua orang yang disyaki merancang serangan di Brussels semasa perayaan Tahun Baru, hanya beberapa minggu selepas pengeboman kumpulan jihad dan penembakan di Paris yang dipercayai dirancang di Belgium.

Pejabat pendakwa persekutuan di Brussels, rumah kepada Kesatuan Eropah (EU) dan NATO, mengatakan hari ini polis telah merampas uniform latihan jenis tentera, perisian komputer dan material propaganda Islamic State (IS) dalam serbuan di beberapa bahagian di negara itu.

Namun para penyiasat mengatakan tindakan polis pada Ahad dan kelmarin itu tidak berkaitan dan siri serangan maut di Paris pada November yang didakwa dilakukan oleh kumpulan IS dan yang Perancis katakan telah dipersiapkan di Belgium.

Salah seorang daripada dua yang ditangkap kerana disyaki merancang serangan serta “memainkan peranan utama dalam kegiatan kumpulan pengganas dan merekrut bagi tindakan ganas,” kata pejabat pendakwa dalam satu kenyataan.

Yang kedua berdepan tuduhan merancang dan “menyertai kegiatan kumpulan pengganas,” katanya.

“Siasatan itu telah mendedahkan ancaman serangan serius yang dipercayai ditujukan di beberapa tempat bersejarah di Brussels dan dijalankan semasa perayaan akhir tahun.”

Ekoran ancaman ‘serius’ itu, pusat krisis negara OCAM, Belgium lewat kelmarin meningkatkan tahap kewaspadaannya kepada polis dan tentera di Brusseles, “yang boleh jadi sasaran simbolik,” seorang jurucakap memberitahu AFP.

Dua suspek yang baru ditangkap semasa serbuan di kawasan Brussels itu berlaku di kawasan Flemish Brabant ke utara bandar dan berhampiran Liege di bahagian timur rantau Wallonia selatan Belgium.

Serbuan itu yang diarahkan oleh majistret siasatan di Brussels pakar dalam bidang pengganasan, tidak mendapati sebarang senjata mahupun bahan letupan.

Sekitar enam orang telah ditahan, termasuk dua yang disyaki merancang serangan, namun empat yang lain dibebaskan kemudian, kata pejabat pendakwa.

Perdana Menteri Charles Michel yang mengikuti setiap perkembangan itu tidak mempunyai sebarang rancangan segera untuk membuat kenyataan, menurut pejabatnya kepada AFP. – AFP