2 ditemui, 10 masih hilang

2 ditemui, 10 masih hilang

DHAKA, 14 Ogos – Anggota menyelamat Bangladesh dan India mengeluarkan dua nelayan India hidup-hidup hari ini dari Teluk Bengal sehari selepas kapal pukat tunda mereka tenggelam, namun 10 yang lain masih hilang, kata pegawai.

Lima mayat juga telah ditemui, tatkala anggota menyelamat pengawal pantai dan tentera laut mencari sebuah kawasan di selatan hutan bakau Sundarbans yang terletak di kiri kanan kedua-dua negara.

“Setakat ini dua nelayan telah diselamatkan hidup-hidup dan kami menemui lima mayat,” beritahu Tapushi Rabeya, jurucakap kementerian pertahanan Bangladesh, kepada AFP.

Kapal pukat tunda menghantar satu amaran kecemasan di laut bergelora semalam, kira-kira 40 batu nautika dari selatan Hiron Point, stesen pelabuhan di Sundarbans.

Anggota menyelamat telah menemui kapal yang tenggelam tetapi usaha untuk mencari nelayan dihambat oleh cuaca buruk berterusan.

Dua kapal tentera laut Bangladesh, tiga bot laju pengawal pantai dan sebuah kapal terbang peronda laut telah pun dihantar dalam usaha mencari itu. “Pengawal pantai dan pesawat udara peronda India juga telah menyertai kami dalam misi menyelamat,” beritahu seorang pegawai kanan tentera laut kepada AFP.

“Kapal yang tenggelam itu berjaya dikesan dan anggota menyelamat Bangladesh dan India berusaha menyelamatnya. Namun usaha menyelamat telah pun terjejas oleh laut bergelora,” kata beliau. Sundarbans adalah hutan bakau terbesar di dunia dan stesen pelabuhan Hiron adalah popular di kalangan nelayan dan pelancong. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA