2 inisiatif baru diperkenal

2 inisiatif baru diperkenal

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Okt – Dalam usaha memperluaskan lagi persekitaran kondusif bagi peniaga tempatan untuk memulakan dan menjalankan perniagaan mereka, Darussalam Enterprise (DARE) malam ini memperkenalkan dua lagi inisiatif baru iaitu Startup Bootcamp dan Skim Mikro Kredit bagi usahawan tempatan. Pelancaran inisiatif-inisiatif tersebut disempurnakan oleh Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar pada majlis yang berlangsung di Auditorium, Bangunan Reka Bentuk & Teknologi, Anggerek Desa, di sini, malam ini.

Skim Kewangan Mikro kredit menawarkan kemudahan mikro kredit berjumlah sehingga $15,000 dengan pembayaran semula sehingga 36 bulan. Skim tersebut dibukakan kepada perniagaan mikro dan permulaan perniagaan dibiayai oleh Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD). Manakala Startup Bootcamp merupakan platform untuk para pengusaha mempertingkatkan pengetahuan mereka dalam membangun dan memapankan perniagaan dalam tempoh 100 hari.

Bootcamp berkenaan telah berjalan sejak 27 September lalu sebagai kitaran pertama dengan penyertaan 65 orang peserta berdaftar, dibahagikan kepada 23 kumpulan, yangmengadakan perjumpaan pada setiap Selasa. Pada hari terakhir tempoh 100 hari tersebut, hari pertunjukan diadakan di mana pengusaha dan syarikat baru yang dipilih akan membuat pembentangan di hadapan pelabur-pelabur dari dalam dan luar negara.

Yang Berhormat Pehin Haji Mohammad Yasmin semasa berucap di majlis itu berkata, skim pinjaman tersebut adalah bagi perusahaan tempatan mempunyai pelan perniagaan yang berdaya maju di mana pinjaman sehingga $15,000 tersebut boleh dijadikan sebagai suntikan modal bagi menjalankan perniagaan, sekurang-kurangnya bagi 100 pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Manakala itu, program Startup Bootcamp pula bertujuan untuk mempercepatkan para usahawan menimba ilmu dalam membina perusahaan yang kompetitif dan menanai pengalaman ‘hands-on’ dalam memperkenalkan dan melaksanakan produk dan perkhidmatan yang berinovatif, jelas beliau.

Yang Berhormat Pehin berucap melancarkan Skim Kewangan Mikro kredit dan Startup Bootcamp.
Yang Berhormat Pehin berucap melancarkan Skim Kewangan Mikro kredit dan Startup Bootcamp.

Yang Berhormat Pehin turut menyatakan bahawa, kerajaan melalui Kementerian Kewangan, dalam jangka masa pendek dan sederhana, juga sedang giat meneliti penubuhan bank khas untuk PMKS sebagai satu langkah ke hadapan, yang akan dapat menambah kemudahan kewangan untuk PMKS dan peniaga-peniaga di Brunei Darussalam.

Terdahulu dalam ucapannya, Yang Berhormat Pehin telah menyentuh mengenai reformasi termasuk dasar-dasar baru yang diperkenalkan bagi membantu PMKS dalam usahanya memperbaiki iklim perniagaan di bawah Ease of Doing Business.

Beliau berkata, Bank Dunia telah mengakui bahawa reformasi-reformasi kerajaan adalah bersikap efisien dan dinamik.

Bank Dunia juga menyatakan bahawa perlaksanaan Negara Brunei Darussalam dalam menjalankan enam reformasi adalah luar biasa tetapi cabaran masih dihadapi terutamanya dari segi mesra pelanggan dan perniagaan.

Ini, ujar Yang Berhormat Pehin, juga melibatkan proses dan reformasi baru yang diperkenalkan oleh Jabatan Buruh dalam mendapatkan tenaga asing dan juga Autoriti Monetari Brunei Darussalam dalam mengenalkan Sistem Pendaftaran Cagaran yang akan lebih memudahkan pinjaman mulai pada bulan Disember 2016.

“Walau bagaimanapun, memang diakui bahawa masih banyak perkara lagi perlu diteliti, namun saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pandu Ease of Doing Business dan 12 kumpulan Champion akan terus bekerjasama agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan bagi memastikan urusan perniagaan di Brunei ini adalah telus, efisien dan berintegriti, mulai daripada permulaan perniagaan hinggalah ke proses eksport,” ujarnya.

Yang Berhormat Pehin seterusnya berkata, dalam pembangunan kapasiti PMKS, DARE telah pun mengenalkan Industry Business Academy (IBA) pada Mei 2016 dan seramai 127 orang usahawan telah pun mengikuti program ini mulai Mei sehingga bulan November 2016.

Program yang akan datang juga akan melibatkan kursus daya ketahanan diri kerana dunia perniagaan adalah penuh dengan liku-liku cabaran dan ia memerlukan ketahanan mental dan fizikal yang baik terutama kepada bakal-bakal usahawan tempatan dalam menjalankan perniagaan. Apa yang jelas, tekan Yang Berhormat Pehin, adalah anjakan paradigma yang diperlukan bagi Negara Brunei Darussalam untuk membantu merangsang pengeluaran melalui pertumbuhan KDNK dalam mencapai hasrat, Wawasan 2035 baik dari usaha pihak usahawan sendiri, kerajaan dan juga pihak-pihak yang berkepentingan seperti bank dan pelabur asing.