2 kanak-kanak dilari bersama kereta ibu

2 kanak-kanak dilari bersama kereta ibu

KOTA KINABALU, 15 Jan (Bernama) – Dua orang kanak-kanak perempuan yang ditinggalkan di dalam kereta ibunya dilarikan seorang lelaki kira-kira 6.15 pagi tadi.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, ACP M Chandra berkata wanita berkenaan meninggalkan anaknya yang berumur lapan dan lima tahun di dalam kereta yang tidak berkunci dan enjin masih hidup.

Beliau berkata wanita itu meletak keretanya di hadapan sebuah bank untuk mengeluarkan wang dari mesin pengeluaran wang automatik di dalam bank itu.

“Bagaimanapun wanita berkenaan kemudiannya terkejut apabila mendapati keretanya bersama dua orang anaknya sudah tidak ada di luar bank, lalu dia membuat laporan polis di Balai Polis Kota Kinabalu.

“Namun pada jam 6.45 pagi, kereta dan anak pengadu dijumpai semula, ditinggalkan di lot parkir di belakang Klinik 1Malaysia di Jalan Gaya,” katanya.

Chandra berkata pihak polis percaya suspek yang merupakan seorang lelaki yang berumur antara 20 hingga 30 tahun dan berpakaian baju T dan seluar pendek hitam hanya mahu mencuri kereta itu dan bukannya melarikan kanak-kanak berkenaan.