2 keluarga terima rumah bantuan

2 keluarga terima rumah bantuan

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 17 Sept – Dua buah keluarga bakal mempunyai rumah baru yang lebih selesa apabila terpilih untuk menerima rumah bantuan Skim Perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), dan pembinaan kedua-dua buah rumah berkenaan dijangka siap dalam tempoh tiga bulan.

Sehubungan itu, majlis peletakan batu asas bagi rumah Dayang Hasmani binti Tawi dan Dayang Dayatirina binti Moksin di Kampung Bukit Udal telah diadakan hari ini, yang didahului oleh Pengarah Urusan Yayasan, Haji Brahim bin Haji Ismail.

Turut hadir ialah para pegawai kerajaan yang terlibat dan pegawai serta kakitangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Pembinaan rumah bantuan Skim Perumahan Yayasan adalah khusus kepada saudara-saudara baru dan orang daif serta tidak berkemampuan mendirikan rumah sendiri, yang dikurniakan secara percuma kepada para penerima yang layak mengikut kriteria yang telah ditetapkan oleh Yayasan. Setiap sebuah rumah bantuan yang dibina di bawah skim ini berkonsepkan tiga bilik tidur yang dilengkapi bilik tamu, dapur dan tandas.

Dayang Hasmani, 43, seorang suri rumah tangga dan mempunyai dua orang anak, manakala itu, suami beliau yang merupakan warga asing bekerja sebagai buruh di Kementerian Pertahanan.

Haji Brahim hadir bagi menyempurnakan majlis peletakan batu asas.
Haji Brahim hadir bagi menyempurnakan majlis peletakan batu asas.
Antara yang hadir pada majlis peletakan batu asas rumah bantuan di Kampung Bukit Udal.
Antara yang hadir pada majlis peletakan batu asas rumah bantuan di Kampung Bukit Udal.

Beliau mempunyai masalah kesihatan kerana menghidap pelbagai penyakit seperti kencing manis, masalah pernafasan, buah pinggang dan lain-lain, malah, menurutnya, rumah yang didiami pada masa ini dalam keadaan usang dan tidak selesa.

Sementara itu, Dayang Dayatirina, 43, pula seorang ibu tunggal yang mempunyai enam orang anak dengan tiga daripadanya orang kelainan upaya iaitu autistik dan kini mereka menjalani latihan di Pusat SMARTER.

Dayang Dayatirina merupakan penerima bantuan JAPEM yang menerima $650 sebulan, namun beliau tidak mampu mendirikan rumah dan anak-anaknya memerlukan tempat perlindungan yang selesa, selamat dan ruang persekitaran yang lebih kondusif bagi pertumbuhan dan perkembangan fizikal dan mental yang sihat.

Pembinaan rumah-rumah bantuan itu merupakan salah satu projek yang dilaksanakan oleh Yayasan sebagai usaha bagi meningkatkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat di negara ini selaras dengan dasar dan tujuan penubuhannya.