2 lagi kebakaran di ibu negara

2 lagi kebakaran di ibu negara

Oleh Yusrin Junaidi dan Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Jan – Satu lagi kebakaran telah dilaporkan berlaku kira-kira pukul 11:05 pagi hari ini di salah sebuah bangunan kedai rumah di kawasan Menglait, berdekatan dengan sebuah kedai roti ternama.

Tiga buah jentera bersama 10 orang anggota bomba dan penyelamat yang dikerahkan ke tempat kejadian, walau bagaimanapun mendapati api telah pun dapat dikawal oleh penduduk yang tinggal di persekitaran kejadian.

Menurut tukang masak yang bekerja berdekatan dengan lokasi kejadian, kebakaran dikesan apabila asap tebal berwarna hitam mula terlihat di tingkat satu belakang bangunan berkenaan. Setelah diperiksa, mereka mendapati beberapa buah komputer lama dan rosak yang disimpan telah terbakar.

Kebakaran kecil ini juga membuatkan kesemua penghuni di tingkat satu bangunan berkenaan menjadi kucar-kacir untuk menyelamatkan diri.

Jabatan Bomba dan Penyelamat tiba ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan melalui talian 993.

Gambar WhatsApp menunjukkan anggota-anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat memadamkan api menggunakan pemadam api jenis dry powder.
Gambar WhatsApp menunjukkan anggota-anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat memadamkan api menggunakan pemadam api jenis dry powder.

Sementara itu, dalam satu lagi kejadian, Stesen Jana Juasa, Jalan Pasar Gadong juga mengalami kebakaran kecil petang kelmarin yang mengakibatkan kerugian kira-kira $30,000.

Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat, mereka menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 4:47 petang dan mengerahkan seramai 11 orang anggota bersama sebuah jentera bomba dari Balai Bomba Beribi dengan diketuai DSO Abdul Ghafar bin Haji Abdul Ghani.

Turut hadir di tempat kejadian ialah Pemangku Penolong Penguasa Bomba dan Penyelamat dari Cawangan Operasi ‘A’, Awang Hanif bin Haji Suboh.

Sejurus tiba di tempat kejadian, pihak bomba mendapati terdapat api kecil membakar Unit ‘Surge Eraser FO2 Rimba ‘Feeder’ yang sudah berusia 10 tahun, dan bertindak memadamkan api menggunakan dua biji pemadam api jenis dry powder seberat empat kilogram.

Setelah itu, perkara tersebut diserahkan kepada pekerja elektrik yang hadir untuk tindakan selanjutnya. Tiada kecederaan atau korban jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.

ARTIKEL YANG SAMA