2 maut disambar petir

2 maut disambar petir

PARIS, 1 Sept (dpa) – Ribut petir yang disertai dengan angin kencang melanda barat daya Perancis semalam mengakibatkan dua orang maut dan kira-kira 87,000 buah kediaman terputus bekalan elektrik, menurut Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, hari ini.

Dua orang lagi cedera parah, manakala 10 orang, termasuk seorang pemadam kebakaran, mengalami cedera ringan, menurut kementerian.

Seorang mati dan banyak lagi cedera akibat pokok tumbang ke atas kenderaan mereka yang disebabkan angin kencang selaju kira-kira 153km sejam.

Sekurang-kurangnya sebuah rumah terbakar yang tercetus akibat ribut itu, lapor penyiaran BFM-TV. Kementerian Dalam Negeri mengatakan perkhidmatan kecemasan telah menerima sekitar 1,200 panggilan bantuan sepanjang malam itu.

Ribut tersebut telah memberi impak besar ke atas jabatan Tarn-et-Garonne, utara Toulouse. Imej televisyen menunjukkan dahan bertaburan di sepanjang jalan bandar pentadbiran Montauban, bersama dengan beberapa batang pokok yang tumbang.