2 maut ditembak dalam kenderaan pacuan empat roda

2 maut ditembak dalam kenderaan pacuan empat roda

KOTA KINABALU, 15 April (Bernama) – Dua lelaki terbunuh selepas ditembak dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal di Jalan Kolam, awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Datuk Salehhuddin Abdul Rahman berkata mangsa yang maut dikenali sebagai Hii Lam King, 36, dan Ting Wen Hou, 23, kedua-duanya berasal dari Sibu, Sarawak namun menetap di Sabah.

Salehhuddin berkata ketika kejadian pada 7.30 pagi itu, Hii yang memandu kenderaan pacuan empat roda dikatakan dalam perjalanan balik dari menghantar anaknya ke sekolah.

“Terdapat lapan kesan tembakan dilepaskan ke arah mangsa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Menurut Salehhuddin seorang lagi lelaki berada dalam kenderaan itu berumur 23 tahun yang juga saudara kembar kepada Ting, bagaimanapun terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.