2 maut pertempuran di sempadan Myanmar-China

2 maut pertempuran di sempadan Myanmar-China

YANGON, 20 Nov – Dua orang awam terbunuh hari ini tatkala pertempuran meletus di utara bandar Myanmar di sempadan dengan China, satu rantau yang telah lama dibelenggu dengan pemberontakan penduduk etnik.

Pertempuran terbaru memberi satu lagi tamparan hebat kepada harapan pemimpin awam Aung San Suu Kyi untuk mencapai satu perjanjian perdamaian di seluruh negara selepas perang bertahun-tahun lamanya di kebanyakan rantau sempadan penduduk minoriti etnik Myanmar.

Penduduk tempatan di bandar Muse, tempat penyeludupan terkenal, melaporkan pertempuran meletus sejak awal pagi.

“Penduduk dari tempat pemeriksaan sempadan kini sedang melarikan diri ke bandar Muse disebabkan pertempuran sengit tetapi kami tidak tahu kumpulan yang mana satu yang terbabit dalam pertempuran,” beritahu Aye Aye, seorang penduduk di bandar Muse kepada AFP.

“Seorang lelaki dan seorang wanita mati akibat luka tembakan selepas mereka tiba di hospital pada pagi ini,” kata pekerja di hospital tempatan, meminta namanya tidak disiarkan dan menambah kira-kira 25 orang lain mengalami kecederaan.

Pertempuran di antara tentera Myanmar dan Tentera Kemerdekaan Kachin (KIA), yang bermula pada tahun 2011 selepas gencatan senjata 17-tahun menemui kegagalan, telah menyebabkan 100,000 orang kehilangan tempat tinggal dan merebak ke kawasan di negeri Shan.

Muse terletak di utara Shan, tidak jauh dari Kachin, dan dipisah daripada China oleh sebatang sungai. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA