2 maut, pesawat F-16 bertembung

2 maut, pesawat F-16 bertembung

WASHINGTON, 8 Julai (AFP) – Dua maut selepas pesawat pejuang F-16 bertembung dengan pesawat ringan Cessna di Carolina Utara dengan sisa bangkai pesawat berselerakan di kawasan yang besar.

Nahas udara itu berlaku pada lewat pagi waktu tempatan di 20 kilometer di utara Charleston, demikian disahkan oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA).

Angkatan Udara Amerika Syarikat mengenal pasti juruterbang F-16 yang terbabit adalah Mejar Aaron Johnson, yang berpangkalan di Shaw Air Force Base.

Media tempatan melaporkan Johnson – juruterbang F-16 sejak 2005, yang dipetik menerusi laman sosial LinkedIn menerima amaran sebelum sempat menekan kerusi anjal pesawat.

Jurucakap Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) di Washington memberitahu AFP bahawa kedua-dua orang yang berada di dalam pesawat satu enjin Cessna 150 itu bagaimanapun terbunuh.

Identiti mereka belum dikeluarkan lagi oleh pihak berkuasa.

Sisa bangkai pesawat berselerakan berdekatan pekan tasik Moncks Corner, di mana penduduk tempatan memberitahu media tempatan bahawa mereka melihat ‘bola api’ dari udara.

Lokasi nahas berdekatan dengan satu lapangan terbang awam kecil di Carolina Utara yang dilaporkan menjadi kawasan operasi tentera di mana pesawat melakukan latihan penerbangan.