2 maut, runtuhan salji di Pakistan

2 maut, runtuhan salji di Pakistan

CHITRAL, Pakistan, 20 Mac (AFP) – Para penyelamat Pakistan hari ini menemui mayat dua orang murid sekolah yang menjadi mangsa runtuhan di pergunungan barat laut, manakala sembilan orang lagi masih tertimbus di bawah salji.

Bencana itu berlaku pada tengah hari semalam berhampiran kampung Susom, kira-kira 40 kilometer utara bandar Chitral di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, ketua stesen polis tempatan Sultan Baig memberitahu AFP.

Ibu bapa yang dalam kebimbangan dan pihak berkuasa mula melancarkan usaha mencari bagi murid-murid gred sembilan itu apabila mereka tidak pulang dari sekolah. “Peluang menemui mana-mana lagi mangsa terselamat adalah sangat rendah,” kata timbalan datuk bandar tempatan Mohammad Ali. ‘Tetapi kita tidak tahu, orang pernah ditemui masih hidup dalam keadaan tertimbus di bawah salji selama hampir 20 jam.”

Hujan lebat telah mengorbankan kira-kira 79 orang, mengakibatkan 101 lagi cedera dan merosakkan 240 buah rumah sejak 9 Mac di seluruh Pakistan, menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negara. Menurutnya kejadian tanah runtuh dan bumbung runtuh telah mengakibatkan paling banyak kematian.

Rumah yang tidak sempurna dibina, terutamanya di kawasan pedalaman, paling cenderung mengalami keruntuhan.

Cuaca buruk melanda negara setiap tahun, dengan ratusan orang terbunuh dan kawasan utama pertanian musnah dalam beberapa tahun kebelakangan.

ARTIKEL YANG SAMA