2 maut Taufan Nepartak landa Taiwan

2 maut Taufan Nepartak landa Taiwan

TAIPEI, 8 Julai – Taufan Besar Nepartak membawa kekacauan ke Taiwan pada hari ini, memaksa lebih daripada 15,000 orang meninggalkan rumah mereka tatkala angin paling kencang dalam satu abad melanda sebahagian daripada kawasan pulau.

Ribut besar pertama pada musim ini melanda bandar Taimali di timur daerah Taitung pada awal hari ini, membawa hujan lebat, menutup pejabat dan sekolah dan memaksa pembatalan beratus penerbangan.

Angin kencang melanda pulau pada kelajuan 200 kilometer sejam – dengan Taitung mencatat angin paling kuat di daerah itu sejak 1901, menurut Biro Cuaca Taiwan.

Seorang askar yang terjatuh ke dalam laut di luar Pulau Dongyin ditemui mati pada hari ini, hari selepas seorang lelaki mati lemas di luar sebuah pantai di daerah Hualien, menurut angka rasmi. Berpuluh kecederaan juga dilaporkan, kebanyakannya berpunca daripada objek jatuh.

Ribut menjadi lemah tatkala ia melalui pulau sebelum meninggalkan bandar barat daya Tainan pada kira-kira pukul 2:30 petang, menuju ke timur China. Lebih daripada 15,000 orang telahpun berpindah dari rumah mereka yang mudah terdedah kepada runtuhan tanah atau banjir dan kira-kira 3,600 di antara mereka di pusat perlindungan.

Gambar yang diambil melalui video menunjukkan serpihan-serpihan yang diterbangkan oleh angin kuat daripada taufan besar Nepartak di Taitung, tenggara Taiwan, kelmarin. - AP
Gambar yang diambil melalui video menunjukkan serpihan-serpihan yang diterbangkan oleh angin kuat daripada taufan besar Nepartak di Taitung, tenggara Taiwan, kelmarin. – AP

Hampir 4,000 orang yang dipindahkan berada di Bandar Taipei Baru, yang termasuk Wulai, kawasan mata air panas popular berhampiran ibu negara yang terputus beberapa hari selepas Taufan Soudelor melanda Taiwan pada Ogos lalu.

Tentera semalam pergi dari rumah-kerumah di kawasan pergunungan terpencil menggesa penduduk kampung meninggalkan rumah mereka. Seramai 466,000 keluarga tidak mempunyai bekalan elektrik disebabkan ribut, dengan kira-kira 125,000 masih tidak mempunyai bekalan elektrik pada tengah hari ini.

Kebanyakan penerbangan domestik dibatalkan sementara hampir 500 penerbangan antarabangsa terjejas, kata dua lapangan terbang utama Taipei. Pasaran kewangan ditutup dan kebanyakan kereta api juga berhenti operasi pada hari ini. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA