2 menteri kabinet Turnbull letak jawatan

2 menteri kabinet Turnbull letak jawatan

SYDNEY, 29 Dis – Dua menteri dalam kabinet Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull meletak jawatan hari ini, seorang daripadanya berundur selepas penjawat awam wanita mengadu mengenai kelakuannya di Hong Kong ketika lawatan rasmi terbaru.

Berikutan insiden itu, Turnbull dijangka merombak barisan kabinetnya. Menteri Bandar dan Pembangunan Alam Sekitar, Jamie Briggs, berkata beliau meletak jawatan selepas seorang wanita tidak dinamakan mengadu mengenai kelakuan tidak senonoh ke atasnya “di sebuah bar popular dan penuh sesak” di Hong Kong.

Briggs, yang dilantik ke jawatannya oleh Turnbull awal tahun ini, berkata tiada perkara sumbang berlaku, namun enggan mengulas perincian insiden terbabit.

“Saya sudah memohon maaf secara langsung kepadanya, namun selepas pertimbangan wajar mengenai isu yang dibangkitkan dan hakikat saya berada di bar lewat malam ketika kunjungan luar negara, saya memutuskan kelakuan itu tidak memenuhi standard tinggi seorang menteri,” katanya kepada media di Adelaide.

Turnbull berkata, menteri kedua, Mal Brough juga berundur ketika polis menyiasat peranannya berhubung pendedahan seorang lawan politik yang bocor.

Jamie Briggs (kiri) dan Mal Brough (kanan).
Jamie Briggs (kiri) dan Mal Brough (kanan).

Brough, yang juga Menteri Khas Negeri dan Menteri Bahan dan Sains Pertahanan, disiasat Polis Persekutuan Australia atas dakwaan meniru diari bekas Speaker, Peter Slipper.

“Dengan menawar diri untuk meletak jawatan, Brough membuat perkara yang betul, mengiktiraf kepentingan kerajaan mengekalkan fokus tidak berbelah bagi kepada tugas, pertumbuhan ekonomi dan keselamatan nasional,” kata Turnbull dalam satu kenyataan.

Tugas kedua-dua kementerian itu akan diambil alih menteri lain. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA