2 objek disyaki dari MH370 diperiksa

2 objek disyaki dari MH370 diperiksa

KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) – Usaha akan dilakukan untuk memastikan sama ada dua objek kecil yang ditemui di Pulau Maldives pada Jumaat merupakan serpihan daripada pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 yang hilang.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata dua objek kecil bersaiz tapak tangan itu telah dibawa pulang ke Malaysia semalam oleh pasukan penyiasat.

“Objek itu telah dibawa pulang dan pasukan penyiasat akan menentukan dalam masa terdekat sama ada ia adalah serpihan pesawat MH370,” katanya pada sidang media selepas menghadiri perhimpunan tahunan Wanita MCA Selangor ke-40 di Wisma MCA di sini hari ini.

Beliau turut berkata misi pencarian MH370 membabitkan tiga negara iaitu Malaysia, Australia dan China akan diteruskan di dasar Lautan Hindi dan antara perkara utama yang harus dilakukan sekarang adalah untuk mencari kotak hitam dan bangkai pesawat itu.

Pesawat Boeing 777 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.

Beberapa serpihan yang terdampar di Pulau Reunion. – Reuters
Beberapa serpihan yang terdampar di Pulau Reunion. – Reuters

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 6 Ogos lepas mengumumkan bahawa pakar antarabangsa telah mengesahkan serpihan sayap yang dijumpai di Pulau Reunion sebelum ini adalah daripada MH370.

Ia menyokong rumusan awal bahawa pesawat Malaysia Airlines itu terhempas ke dalam Lautan Hindi.

Liow seterusnya berkata mesyuarat tiga pihak antara Malaysia, China dan Australia bagi menentukan semula kawasan pencarian pesawat MH370 dijangka berlangsung awal September.

Buat masa ini, beliau berkata kementerian masih menunggu keputusan analisis yang dilakukan pasukan pakar termasuk Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), agensi yang mengetuai pencarian MH370 di Lautan Hindi.

Sementara itu, Liow yang juga Presiden MCA berkata pihaknya menyambut baik penubuhan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik yang diumumkan Najib baru-baru ini.

Beliau berharap ia menjurus kepada parti-parti politik meningkatkan ciri pentadbiran dan transparensi dalam menguruskan pembiayaan politik.

“MCA sendiri sudah lama mengamalkan konsep ini,” katanya.