2 pakar Bank Dunia kongsi maklumat

2 pakar Bank Dunia kongsi maklumat

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Julai – Usaha terus dipertingkatkan bagi memperkenalkan pembaharuan bukan sahaja terhadap kaedah melaksanakan perniagaan tetapi juga pengawalan, proses dan undang-undang yang mampu untuk memudahkan lagi serta menjadikan suasana perniagaan negara lebih menarik kepada usahawan tempatan dan para pelabur asing.

Usaha itu dihasratkan untuk dapat meningkatkan dan memberikan keyakinan kepada para peniaga dan pelabur mengenai perkembangan ekonomi negara dan mampu untuk menjadikan negara sebagai destinasi pilihan serta memudahkan perniagaan dan industri supaya dapat berkembang dan meningkatkan pelaburan daripada para pelabur dalam dan luar negara.

Perkara itu di antara yang dijelaskan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama yang juga Setiausaha Jawatankuasa Pandu Ease of Doing Business (EoDB), Hajah Normah Suria Hayati binti Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama (Dr) Haji Mohd Jamil Al-Sufri ketika menjelaskan mengenai pembaharuan dan perkembangan Brunei dalam usaha untuk memperbaiki kedudukan EoDB semasa Bengkel EoDB Bank Dunia (World Bank) yang berlangsung di Dewan Persidangan, East Wing, Jabatan Perdana Menteri, hari ini.

Bengkel yang disertai seramai 50 peserta, terdiri daripada ketua kumpulan Jawatankuasa Pandu, agensi-agensi kerajaan yang berkenaan, wakil sektor swasta, pertubuhan perniagaan, ahli akademik dan pihak-pihak yang berkepentingan dirasmikan oleh Menteri Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama dan juga Pengerusi Jawatankuasa Pandu EoDB, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Utama Dato Seri Setia Haji Yahya bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar.

Hajah Normah Suria Hayati turut menyentuh mengenai pembaharuan yang dilaksanakan oleh pelbagai pihak termasuk agensi-agensi kerajaan dan pihak yang berkepentingan dalam memperbaiki lagi iklim perniagaan dan pelaburan negara.

Yang Berhormat Pehin Dato Seri Setia Haji Yahya (depan, tengah) bergambar bersama para peserta bengkel EoDB.
Yang Berhormat Pehin Dato Seri Setia Haji Yahya (depan, tengah) bergambar bersama para peserta bengkel EoDB.

Bengkel yang merupakan salah satu inisiatif EoDB itu, dikendalikan oleh dua pakar dari Bank Dunia iaitu Christian De La Medina Soto dan Edgar Ivan Chavez Sanchez. Kedua-dua pakar mempunyai pengalaman yang luas bukan sahaja dalam membantu ekonomi-ekonomi di rantau ASEAN tetapi juga ekonomi lain di Asia. Bengkel itu bermatlamat untuk mengongsi dan menjana kesedaran mengenai pembaharuan dan inisiatif yang sedang serta akan dilaksanakan oleh Negara Brunei Darussalam.

Bengkel itu juga menyediakan platform bagi setiap pihak yang berkenaan untuk berkongsi maklumat, menyampaikan inisiatif-inisiatif pembaharuan dan kesan-kesannya terhadap suasana perniagaan negara.

Usaha itu juga adalah untuk memastikan supaya pakar dari Bank Dunia memperoleh maklumat secara langsung mengenai inisiatif yang dilaksanakan dan dikongsi oleh kumpulan-kumpulan penyelidikan Doing Business.

Selain bengkel itu, beberapa sesi teknikal bersama setiap ketua kumpulan dan agensi-agensi kerajaan akan diadakan bersama kedua-dua profesional itu yang mana semasa sesi ini, setiap ketua dan agensi dapat berinteraksi dan berkongsi maklumat dengan kedua-duanya mengenai amalan terbaik dalam pengawalan perniagaan dan berkongsi pengalaman daripada kejayaan ekonomi-ekonomi terbaik serantau dan global.

ARTIKEL YANG SAMA