2 pegawai tentera sertai pesta dadah ditahan

2 pegawai tentera sertai pesta dadah ditahan

JAKARTA, 7 April (Bernama) – Pihak berkuasa Indonesia menahan dua pegawai kanan tentera yang didapati terbabit dalam penganjuran pesta dadah di sebuah hotel di Kota Makassar, Sulawesi Selatan malam kelmarin.

Portal-portal berita memetik Panglima Komander Daerah Militer Wirabuana Mej Jen Agus Surya Bhakti sebagai berkata dua pegawai tentera itu antara enam yang ditahan dalam serbuan di hotel itu setelah pihak berkuasa menerima maklumat tentang pesta dadah itu.

“Saat ditangkap mereka sedang pesta syabu … mereka telah mengarah anggota tentera mengawal di lobi hotel. Bagaimanapun para anggota tentera yang mengawal melarikan diri setelah terlihat Ketua Komando Daerah Brig-Jen Supartodi datang bersama pasukan operasi untuk menahan mereka yang terbabit,” katanya.

Agus berkata semua yang ditahan termasuk dua pegawai tentera itu diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Pada Februari lepas, Anggota Dewan Perwakilan Rakyat dari Fraksi Partai Persatuan Pembangunan (PPP) Fany Syafriansyah ditahan oleh pihak berkuasa dalam satu serbuan ketika dipercayai sedang membeli dadah di sebuah kuarters tentera di Jakarta Selatan di sini.

Dalam serbuan itu, Polis Tentera juga menahan tiga anggotanya yang tinggal dalam kuarters berkenaan dan dipercayai terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

ARTIKEL YANG SAMA