2 pegawai UNISSA hadiri mesyuarat AIUA

2 pegawai UNISSA hadiri mesyuarat AIUA

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Jun – Dua orang pegawai utama dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), baru-baru ini, telah menghadiri Mesyuarat Pertama Persatuan Pengajian Tinggi Islam Asia (AIUA) yang berlangsung di Hotel Aria Bario, Banjarmasin, Kalimantan Selatan, Indonesia, pada 12 hingga 14 Jun yang lalu.

Menurut kenyataan UNISSA, Pemangku Bendahari UNISSA, Haji Mohamad Samari bin Haji Mohamad Noh menghadiri mesyuarat berkenaan selaku wakil Rektor UNISSA, manakala itu, Dekan Pelajar UNISSA, Awang Dr Azme bin Haji Matali, telah membentangkan kertas kerja dalam seminar berkenaan dengan tajuk kertas pembentangan mengenai Islam Wasathiyyah: Pengalaman Brunei Darussalam.

Perasmian mesyuarat berkenaan pada 12 Jun 2015 di Mahligai Pancasila, Banjarmasin telah disempurnakan oleh wakil Gabenor Kalimantan Selatan.

Sebagai sebuah Institusi Pengajian Tinggi Islam di Negara Brunei Darussalam, UNISSA telah menjadi ahli kepada AIUA sejak Persidangan Meja Bulat Rektor-rektor Institusi Pengajian Tinggi Islam Malaysia dan Mesyuarat Penubuhan Universiti Islam Asia 2015 yang telah diadakan pada 24 – 26 April 2015 di Pekanbaru, Riau, Indonesia, sebelum ini.

Kali ini, Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Antasari, Banjarmasin, Indonesia menjadi tuan rumah bagi penganjuran mesyuarat pertama dan seminar antarabangsa berkenaan.

Kenyataan menambah, setakat ini sebanyak 55 buah institusi pengajian tinggi Islam yang terdiri daripada Indonesia, Malaysia, Brunei Darussalam dan Thailand telah menjadi ahli AIUA ini.

ARTIKEL YANG SAMA