2 pejuang kejam IS terbunuh

2 pejuang kejam IS terbunuh

SYDNEY, 23 Jun (AFP) – Canberra hari ini berusaha mengesahkan laporan yang mengatakan bahawa dua orang pejuang kumpulan Islamic State (IS) warga Australia yang paling dikehendaki, yang gambar mereka diambil sambil memegang kepala-kepala yang dipenggal, telah terbunuh.

Perbadanan Penyiaran Australia memetik sumber mereka yang rapat dengan keluarga Khaled Sharrouf dan Mohamed Elomar sebagai mengatakan kedua-dua mereka itu terbunuh dalam pertempuran di bandar Iraq, Mosul pada minggu lalu.

Menteri Luar Julie Bishop mengesahkan bahawa serangan dron telah dilancarkan baru-baru ini di kawasan itu tetapi berkata dia masih menantikan ‘pengesahan mutlak’ bahawa mereka terbunuh.

“Kemungkinan pengesahan berkaitan Elomar mungkin pasti, bagaimanapun berkaitan Sharrouf, kami masih berusaha mengesahkan laporan itu,” katanya.

Sharrouf mula terkenal tahun lalu di sejagat kerana perbuatan jahat mereka, apabila dia menghantar gambar-gambar ke akaun Twitter miliknya yang memaparkan dirinya dan anak lelaki yang dibesarkan di Sydney dan berusia tujuh tahun sedang memegang kepala-kepala tentera Syria yang telah dibunuh.

Berpakaian seperti anak-anak muda lain dengan mengenakan seluar berpetak-petak biru, baju biru dan kep besbol, keterangan gambar anak itu ialah ‘Itu adalah anak lelaki saya’ yang mengakibatkan Setiausaha Negara AS John Kerry menggelarkannya ‘menggerunkan’.

Gambar-gambar lain dikatakan adalah dari Syria, disiarkan di Australia pada ketika itu menunjukkan Sharrouf mengenakan pakaian penyamaran sambil bergaya bersama tiga orang anak lelaki, kesemuanya dipercayai oleh agensi-agensi keselamatan adalah anak-anak lelakinya.

Sharrouf, yang pernah menjalani hukuman, dipenjara selama empat tahun selepas mengaku bersalah berhubung konspirasi 2005 untuk menyerang Sydney, telah lari meninggalkan negara pada tahun 2013 bersama-sama Elomar.

Elomar, yang memberi reaksi di Twitter tentang gambar budak lelaki itu juga telah digambar sedang memegang kepala-kepala para pejuang pro Syria.

“Elomar dan Sharrouf menjadi terkenal di antarabangsa ekoran gambar-gambar itu yang mereka hantar memaparkan diri mereka memegang kepala pejuang-pejuang pro-Syria. Mereka terkenal dengan keganasan dan kekejaman mereka,” kata Bishop.

ARTIKEL YANG SAMA