2 pekerja lari ditemui

2 pekerja lari ditemui

Oleh Anwar Rosly

Gambar Oleh Jabatan Imigresen cawangan Daerah Belait

 

KUALA BELAIT, 14 April – Dua warga asing yang dilaporkan lari daripada majikan telah ditahan dalam pemeriksaan yang dijalankan oleh pegawai-pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Imigresen cawangan Daerah Belait, ke atas empat sasaran di sini, hari ini.

Salah seorang daripadanya didapati ketika pemeriksaan ke atas dua orang lelaki warga asing yang sedang melakukan kerja-kerja memotong rumput di sebuah kawasan rumah persendirian di kawasan Pandan 6, Kuala Belait.

Manakala itu, seorang lagi didapati hasil maklumat yang diberikan oleh rakan yang telah ditahan berkenaan, dalam pemeriksaan ke atas sebuah rumah sewa pekerja asing di kawasan Jalan Dipa Negara.

Kedua-duanya telah ditahan dan dibawa ke Jabatan Imigresen untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.

Hasil penelitian Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Imigresen cawangan Daerah Belait, mendapati bahawa jaminan pas imigresen kedua-dua pekerja berkenaan telah mansuh sejak September 2015 dan tinggal lebih masa di negara ini selama 211 hari.

Warga asing yang ditahan semasa operasi tersebut.
Warga asing yang ditahan semasa operasi tersebut.

Dalam pada itu, seorang lagi pemotong rumput warga asing yang turut diperiksa di rumah persendirian di kawasan Pandan 6, Kuala Belait itu pula didapati memegang jawatan sebagai buruh binaan dan telah dikeluarkan pas khas bagi siasatan selanjutnya.

Terdahulu, dalam pemeriksaan ke atas projek pengubahsuaian rumah di kawasan Kampung Mumong Kuala Belait, pegawai-pegawai penguat kuasa telah mengeluarkan satu pas khas kepada seorang warganegara asing yang didapati bekerja secara bebas dan tanpa pengetahuan majikan asalnya.

Warga asing tersebut telah diarahkan untuk melaporkan diri ke Jabatan Imigresen untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.

Sementara itu, satu pas khas juga telah kepada seorang warga asing yang bertanggungjawab menggaji warga asing yang bekerja secara bebas berkenaan, untuk membantu siasatan dan tindakan selanjutnya. Dia ditahan di kawasan letak kereta Masjid Pandan Kuala Belait ketika bersembunyi untuk mengelak daripada pemeriksaan untuk mengesannya.

ARTIKEL YANG SAMA