2 pelajar ISB berlepas ke Jepun

2 pelajar ISB berlepas ke Jepun

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Dis – Dua pelajar dari Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB), hari ini, berlepas ke Jepun bagi menyertai Program Kelab Belia Asia Toshiba (TYCA) yang bermula esok hingga 26 Disember.

Penyertaan Dayang Amirah PG. Tuah dan Gabrielle Chin dalam program itu diiringi oleh Dayang Noraini, yang merupakan perwakilan daripada Pertubuhan Alumni Jepun Brunei (BAJA) selaku penasihat.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, program anjuran Yayasan Antarabangsa Toshiba (TIFO) dan diselaraskan oleh BAJA di sini itu bermatlamat mewujudkan rangkaian para pemimpin muda Asia yang pada masa akan datang akan berusaha ke arah membina dan mengukuhkan keamanan dan keharmonian di rantau Asia Pasifik.

Program ini diadakan sekali setahun di Tokyo dan berusaha untuk menggalakkan pertukaran kebudayaan antara belia-belia dari negara anggota ASEAN dan Jepun.

Ia disertai oleh para pelajar sekolah menengah dari lima negara ASEAN (Brunei, Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand) dengan Jepun sebagai tuan rumah.

Para peserta akan berbincang dan bertukar-tukar pandangan antara satu sama lain untuk mencari penyelesaian kepada masalah dunia yang akan memberi impak kepada masa hadapan, seperti tenaga dunia, persekitaran, penyelesaian teknologi canggih dan kemapanan menerusi teknologi dan kerjasama.

Selain itu, para pelajar akan menghadiri ceramah singkat, perbincangan, lawatan sambil belajar dan pada waktu yang sama mempelajari kebudayaan Jepun ketika dalam program itu. Mereka juga akan menulis e-jurnal dan membuat pembentangan pada hari terakhir program. Gabrielle, pelajar Tahun 13 International Baccalaureate, dipetik meluahkan perasaan sangat gembira kerana mendapat peluang ini untuk mewakili Brunei dan ISB dalam program Asia Kelab Belia Toshiba yang diadakan di Tokyo, Jepun.

“Mewakili sesuatu sebesar negara saya adalah amat mengujakan. Keseluruhan program itu sendiri adalah cara hebat untuk mencetuskan minat dan idea individu dalam kesejahteraan negara mereka.

“Saya menganggap pengalaman kebudayaan Jepun adalah benar-benar yang paling menyeronokkan saya dan saya juga berharap untuk membawa pulang persahabatan, pengetahuan dan kefahaman bukan saja isu-isu Brunei tetapi juga negara-negara jiran lainnya,” tambahnya.

Sementara itu itu, Dayang Amirah PG Tuah, pelajar Tahun 12 International Baccalaureate turut menyuarakan keterujaannya menyertai program ini.

“Saya ingin menyampaikan penghargaan kepada BAJA kerana memilih saya untuk menyertai peluang satu dalam sejuta ini, peluang yang mengubah kehidupan.

“Kami akan memberi tumpuan pada mengekalkan persekitaran kita dan memajukan teknologi kita, dua topik paling hangat yang dibincangkan di setiap negara, maka ini pastinya akan amat membantu negara kita. Saya benar-benar merasa seronok kerana akhirnya saya boleh melakukan sesuatu yang berpotensi merapatkan hubungan enam buah negara termasuklah Brunei,” ujarnya.

Program ini diharap akan menjadi pendedahan yang baik kepada para peserta dan akan meningkatkan pertukaran kebudayaan antara pemimpin-pemimpin muda Brunei dan negara lain.