2 pelancong Jerman cedera

2 pelancong Jerman cedera

YANGON, 27 April – Dua pelancong Jerman dan pemandu tempatan mereka mengalami kecederaan akibat serpihan daripada periuk api di utara Myanmar, berhampiran dengan satu kawasan pertempuran sengit baru-baru ini di antara kumpulan pemberontak minoriti etnik, kata pegawai hari ini.

Pasangan itu, kedua-duanya berusia 24 tahun, dibawa ke hospital di bandar kedua terbesar Myanmar Mandalay lewat petang semalam setelah mengalami kecederaan pada awal hari itu apabila periuk api meletup berhampiran bandar Kyaukme di negeri utara Shan.

Kedua-duanya tidak mengalami kecederaan serius, menurut pegawai tempatan.

“Penduduk kampung membawa mereka ke hospital tempatan dan kami membawa mangsa dari sana,” beritahu Tin Maung Thein, ketua kumpulan bantuan tempatan Zevita, kepada AFP.

Seorang jurugambar AFP melihat pasangan itu tiba di hospital Mandalay pada lewat malam semalam.

Gambar yang diambil lewat 26 April menunjukkan pelancong Jerman, Wiebke Roesler (kiri), yang cedera dalam letupan periuk api di Negeri Shan timur laut Myanmar, telah ditemani oleh Felix Zimmerman (kanan-berdiri) ketika tiba di hospital Mandalay bagi menerima rawatan. – AFP
Gambar yang diambil lewat 26 April menunjukkan pelancong Jerman, Wiebke Roesler (kiri), yang cedera dalam letupan periuk api di Negeri Shan timur laut Myanmar, telah ditemani oleh Felix Zimmerman (kanan-berdiri) ketika tiba di hospital Mandalay bagi menerima rawatan. – AFP

Pelancong wanita itu, Wiebke Rosler, dilihat duduk di kerusi roda dengan balutan kecil di mukanya sementara rakannya Felix Zimmermann sedang berjalan membawa infusi cecair titis (drip).

Satu sumber tentera yang ditempatkan di kawasan itu berkata Rosler telah mengalami kecederaan di lengan kanan dan dahi, sementara Zimmermann tidak dapat mendengar di telinga kirinya selepas letupan tersebut.

Sumber tentera, yang meminta namanya tidak disiarkan, berkata pemandu Sai Khun Oo telah mengalami luka akibat serpihan yang berselerak terkena kakinya.

Myanmar dipenuhi dengan periuk api akibat pertempuran berdekad-dekad lamanya di antara kumpulan bersenjata minoriti etnik dan tentera negara, yang mentadbir negara dengan pemerintahan kuku besi sehingga 2011. – AFP