2 penagih dadah, 9 pesalah imigresen ditahan dalam serbuan berasingan

2 penagih dadah, 9 pesalah imigresen ditahan dalam serbuan berasingan

Oleh Arissa

 

LIMBANG,13 April – Selepas enggan bekerjasama, sepasukan polis terpaksa bertindak memecah pintu kayu di sebuah rumah apabila dua lelaki enggan membuka pintu terbabit dalam operasi dan pemeriksaan aktiviti penyalahgunaan dadah di Kampung Bangkita, Isnin lalu.

Dalam pemeriksaan jam 3:15 petang itu sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik diketuai Inspektor Muhammad Hadi menyerbu ke sebuah rumah di kampung berkenaan.

Bagaimanapun penghuni rumah terbabit enggan membuka pintu menyebabkan polis terpaksa memecah pintu kayu untuk memasuki rumah terbabit.

Ketua Polis Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai berkata ketika pemeriksaan dijalankan kedua-dua lelaki cuba untuk melarikan diri namun berjaya ditahan.

“Hasil pemeriksaan kita telah menjumpai enam keratan tiub lut sinar yang berwarna kemerahan di dalamnya mengandungi ketulan kristal jernih disyaki dadah jenis syabu diletakkan di atas lantai bilik di rumah berkenaan,” katanya kepada media semalam.

Mohd Bukhori menjelaskan hasil siasatan awam mendapati suspek pertama berusia 30 tahun terlibat dengan dadah sejak 13 tahun lalu dan suspek kedua berusia 28 tahun mengambil dadah jenis syabu sejak sembilan tahun lepas.

“Kedua-dua suspek direman selama tiga hari sehingga Jumaat, didapati positif Methapetamine dan Ampethamine selepas ujian saringan awal polis dilakukan ke atasnya,” ujarnya.

Dalam kes berasingan tujuh pekerja wanita warga Thailand, dua pelanggan lelaki warga Indonesia dan seorang penjaga premis warga tempatan juga ditahan selepas disyaki menjalankan kegiatan yang dipercayai melanggar peraturan Akta Pasport, Akta Imigresen 1959/63 di sebuah premis urut di sempadan Tedungan malam kelmarin.

Dalam serbuan jam 8:30 malam itu, sepasukan polis dari cawangan D9 Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sarawak telah membuat pemeriksaan di premis perniagaan urut di kawasan terbabit.