2 penagih dadah dijatuhi hukuman

2 penagih dadah dijatuhi hukuman

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_160518_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Mei – Mahkamah Majistret, hari ini, menjatuhi penjara tiga tahun dan denda $800 ke atas seorang lelaki tempatan selepas mengaku bersalah mengambil dan memiliki peralatan mengambil dadah, pada 2013.

Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid memberi tempoh dua bulan kepada Haji Asmali bin Haji Abdullah, 40, untuk membayar denda itu, dan jika gagal akan berdepan tambahan sebulan penjara.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan Kampung Orang Kaya Besar Imas, pada 4 Februari 2013.

Sampel air kencing dan peralatan mengambil dadah yang diambil daripada defendan setelah dianalisis didapati mengandungi dadah.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Narkotik, Ahmed Faez Anuar.

Dalam bilik mahkamah yang sama, seorang lagi lelaki tempatan dijatuhi denda $2,400 atas kesalahan yang sama.

Abdul Haziz bin Suhaili, 32, diberi tempoh sehingga Ogos ini untuk membayar denda itu, dan jika gagal berdepan empat bulan penjara.

Defendan mengaku bersalah mengambil dan memiliki peralatan mengambil dadah pada 16 Jun 2010 di pondok keselamatan di kawasan Gadong.

Pegawai Pendakwa Narkotik, Norizanullah binti Haji Awang Jaya memberitahu mahkamah, sampel air kencing defendan dan peralatan yang dimilikinya setelah dianalisis didapati mengandungi Methylamphetamine.

ARTIKEL YANG SAMA