2 penerima biasiswa JPA mula latihan kerja di Darwin

2 penerima biasiswa JPA mula latihan kerja di Darwin

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Feb – Suruhanjaya Tinggi Australia di Brunei Darussalam memaklumkan bahawa dua penerima biasiswa dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah memulakan program penempatan kerja selama tiga bulan di Pejabat Pesuruhjaya bagi Pekerjaan Awam di Northern Territory sejak 15 Februari lalu.

Dalam kenyataannya di sini, Suruhanjaya Australia memberitahu bahawa penempatan kerja, ditaja kerajaan Brunei, di Darwin itu akan memberi peluang unik kepada Dayang Nurbazilah binti Tarip dan Dayangku Farah Amirah binti Pengiran Redzuan untuk memahami lebih baik mengenai sektor awam Northern Territory menerusi pelbagai projek dan kursus-kursus pembangunan profesional.

Dalam tempoh beberapa bulan akan datang, kedua-dua pegawai berkenaan akan mendapat gambaran berharga mengenai bagaimana kerajaan Northern Territory beroperasi dan melaksanakan inisiatif-inisiatif utama seperti penglibatan antarabangsa wilayah itu dan agenda Pembangunan Australia Utara.

Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Todd Mercer dipetik sebagai berkata, “Saya sangat gembira untuk mengumumkan bahawa kohort kedua pemegang biasiswa BAS akan menamatkan latihan perkhidmatan mereka di Australia.

Para pegawai dari Jabatan Perkhidmatan Awam bergambar ramai bersama TYT Todd Mercer dan Timbalan Pesuruhjaya Tinggi, Selina Cho.
Para pegawai dari Jabatan Perkhidmatan Awam bergambar ramai bersama TYT Todd Mercer dan Timbalan Pesuruhjaya Tinggi, Selina Cho.

“Kami telah berjaya menjamin penempatan kerja selama tiga bulan menerusi Pejabat Pesuruhjaya bagi Pekerjaan Awam, agensi pusat bagi pengurusan sumber manusia dalam kerajaan Northern Territory. Saya harap, Dayang Nurbazilah dan Dayangku Farah akan seronok berada di Darwin dan menggunakan peluang ini untuk meluaskan pengalaman profesional mereka,” tambahnya.

Program penempatan ini akan merangkumi giliran di Pejabat Pesuruhjaya bagi Pekerjaan Awam; Pejabat Penglihatan, Perdagangan dan Pelaburan Asia di Jabatan Perniagaan; dan Pejabat Pembangunan Australia Utara di Jabatan Ketua Menteri.

Dalam kesempatan itu, Suruhanjaya Tinggi Australia turut menyampaikan penghargaan kepada kerajaan Northern Territory kerana bersetuju untuk menghoskan kedua-dua pegawai berkenaan.

Program peminjaman ini merupakan satu lagi contoh hubungan kukuh dan kerjasama peringkat tinggi yang wujud di antara kerajaan Australia dan Brunei.

ARTIKEL YANG SAMA