2 penjenayah warga Indonesia ditembak mati, 2 lagi melarikan diri

2 penjenayah warga Indonesia ditembak mati, 2 lagi melarikan diri

GEORGE TOWN, 18 April (Bernama) – Dua lelaki warga Indonesia yang baru memecah masuk sebuah rumah di Pulau Tikus di sini ditembak mati selepas berbalas tembak dengan polis di kawasan simpang tiga Jalan Mount Erskine awal hari ini. Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata dua lagi rakan mereka dapat melarikan diri ke kawasan semak berhampiran kawasan perkuburan Cina tidak jauh dari lokasi kejadian.

“Seorang yang ditembak mati mempunyai pasport Indonesia dengan nama Heri dan tinggal secara haram setelah memasuki negara ini dua tahun lepas, manakala rakannya tidak mempunyai sebarang dokumen. Kedua-dua mereka berusia lingkungan 30-an,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata pihak polis menerima laporan mengenai sekumpulan lelaki memecah masuk sebuah rumah di Lengkok Halia, Pulau Tikus pada pukul 2.30 pagi dan kereta yang dinaiki mereka berjaya dikesan di kawasan Pulau Tikus kira-kira 4 pagi.

Polis mengekori kereta jenis Proton Wira itu sehingga ke kawasan perkuburan Cina di Jalan Mount Erskine sebelum memintas dan menahan kereta tersebut, katanya. “Sebaik anggota polis keluar dari kereta peronda, empat lelaki terbabit turut keluar dari kenderaan mereka dengan seorang daripadanya melepaskan tujuh das tembakan ke arah anggota polis dengan dua tembakan mengenai belakang kereta peronda,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA