2 produk dicemari bahan terlarang

2 produk dicemari bahan terlarang

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mei – Kementerian Kesihatan memaklumkan bahawa dua produk kosmetik yang dijual di pasaran negara ini didapati dicemari dengan bahan terlarang yang tidak diisytiharkan.

Produk-produk berkenaan ialah Wonder Glow Day Cream dan Wonder Glow Night Cream (dikilangkan/diedarkan oleh Wonder Glow Cosmetics (M) Sdn. Bhd., Malaysia) yang dicemari dengan merkuri.

Kementerian dalam kenyataannya, hari ini, menyatakan produk-produk berkenaan telah didapati melalui aktiviti pemantauan semasa pasaran yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi di kedai-kedai runcit.

Bahan-bahan pencemar dalam produk-produk berkenaan boleh mengakibatkan kesan-kesan mudarat yang membahayakan kesihatan.

Merkuri merupakan bahan yang dilarang dalam produk kosmetik seperti yang ditetapkan di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik) 2007.

Krim Wonder Glow siang dan malam didapati dicemari dengan merkuri.
Krim Wonder Glow siang dan malam didapati dicemari dengan merkuri.

Menurut kenyataan itu, penggunaan merkuri di dalam produk kosmetik adalah dilarang kerana ia boleh memudaratkan kesihatan, dan tahap merkuri yang tinggi atau pendedahan yang kerap
boleh menyebabkan kulit kebas, sakit kepala, ruam, perubahan warna kulit serta kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

Anak damit dan kanak-kanak kecil boleh terdedah dengan kesan sampingan daripada pengguna, yang boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau anak damit yang belum dilahirkan.

Kenyataan turut memaklumkan bahawa kementerian berkenaan tidak pernah mengeluarkan kebenaran ke atas pengimportan dan mengeluarkan Surat Pengakuan Notifikasi Produk Kosmetik bagi produk-produk tersebut.

Berikutan daripada dapatan ini, produk-produk berkenaan adalah dilarang untuk diimport dan dijual di Negara Brunei Darussalam.

Orang ramai yang telah membeli atau memakai produk-produk tersebut adalah dinasihatkan untuk memberhentikan pengambilannya dengan serta merta. Jika mereka mengalami kesan buruk dan merasa tidak sihat selepas mengambil produk-produk berkenaan, hendaklah berjumpa doktor dengan segera.

Manakala itu, orang ramai yang terlibat dalam penjualan produk-produk tersebut (termasuk penjualan secara online seperti Facebook dan sebagainya) diingatkan bahawa adalah menjadi kesalahan di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik), 2007 untuk mengimport dan memasarkan produk kosmetik di pasaran tempatan tanpa Surat Pengakuan Notifikasi Produk Kosmetik yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa di Kementerian Kesihatan, dan jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi $5,000, penjara tidak melebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Kementerian juga memohon kerjasama orang ramai untuk melaporkan kepada Bahagian Penguatkuasaan Farmasi jika mendapati produk-produk berkenaan masih di pasaran negara ini.

Untuk maklumat dan perhubungan lanjut, bolehlah menghubungi Bahagian Penguatkuasaan Farmasi di talian 2393298 sambungan 208, menghantar e-mel ke alamat pharmacy.enforcement@moh.gov.bn atau berjumpa terus pegawai penguatkuasaan farmasi di Tingkat 1, Bangunan Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kampung Madaras, Mukim Gadong A.

ARTIKEL YANG SAMA