2 produk Lyanaz dicemari merkuri

2 produk Lyanaz dicemari merkuri

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Sept – Dua produk kosmetik didapati dicemari dengan bahan terlarang yang tidak diisytiharkan berikutan hasil daripada ujian makmal yang dilaksanakan oleh Bahagian Kawalan Mutu Ubat, Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan.

Produk-produk berkenaan ialah Lyanaz Beauty Care, Babies Blink 5 in 1, Susu Madu + Gluthathione + Estrak Tomato-Babies Blink Day dan Lyanaz Beauty Care, Babies Blink 5 in 1, Susu Madu + Gluthathione + Estrak Tomato-Babies Blink Night (dikilangkan/diedarkan oleh Lyanaz Beautycare Sdn Bhd) yang mana kedua-duanya dicemarinya dengan merkuri.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataannya berkata produk itu telah didapati melalui aktiviti pemantauan semasa pasaran yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi di kedai-kedai runcit.

Bahan-bahan pencemar dalam produk berkenaan boleh mengakibatkan kesan-kesan mudarat yang membahayakan kesihatan.

Menurut kenyataan itu lagi, merkuri adalah bahan yang dilarang dalam produk kosmetik seperti yang ditetapkan di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik) 2007.

Produk Lyanaz Beauty Care, Babies Blink 5 in 1, Susu Madu + Gluthathione + Estrak Tomato-Babies Blink Night.
Produk Lyanaz Beauty Care, Babies Blink 5 in 1, Susu Madu + Gluthathione + Estrak Tomato-Babies Blink Night.
Lyanaz Beauty Care, Babies Blink 5 in 1, Susu Madu + Gluthathione + Estrak Tomato-Babies Blink Day.
Lyanaz Beauty Care, Babies Blink 5 in 1, Susu Madu + Gluthathione + Estrak Tomato-Babies Blink Day.

Penggunaan merkuri di dalam produk kosmetik adalah dilarang kerana ia boleh memudaratkan kesihatan. Tahap merkuri yang tinggi atau pendedahan yang kerap boleh menyebabkan kulit kebas, sakit kepala, ruam, perubahan warna kulit serta kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

Anak damit dan kanak-kanak kecil boleh terdedah dengan kesan sampingan daripada pengguna yang boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau anak damit yang belum dilahirkan.

Kementerian Kesihatan menekankan bahawa pihak mereka tidak pernah mengeluarkan kebenaran ke atas pengimportan dan mengeluarkan Surat Pengakuan Notifikasi Produk Kosmetik bagi penjualan produk-produk tersebut.

Berikutan dapatan ini, produk-produk berkenaan adalah dilarang untuk diimport dan dijual di Negara Brunei Darussalam.

Orang ramai yang telah menggunakan produk-produk tersebut adalah dinasihatkan untuk memberhentikan pemakaiannya dengan serta merta. Jika mereka mengalami kesan advers dan merasa tidak sihat selepas menggunakan produk-produk berkenaan, hendaklah berjumpa doktor dengan segera.

Orang ramai yang terlibat dalam penjualan produk-produk tersebut (termasuk penjualan secara online seperti melalui Facebook dan sebagainya) adalah diingatkan bahawa ianya adalah menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik), 2007 untuk mengimport dan memasarkan produk kosmetik di pasaran tempatan tanpa Surat Pengakuan Notifikasi Produk Kosmetik yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa di Kementerian Kesihatan, dan jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi $5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Kementerian Kesihatan juga ingin memohon kerjasama daripada orang ramai untuk melaporkan kepada Bahagian Penguatkuasaan Farmasi jika mendapati produk-produk berkenaan masih dipasarkan di negara ini.

Untuk maklumat lanjut dan perhubungan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Penguatkuasaan Farmasi melalui talian telefon 2393298 sambungan 208, menghantar e-mel kepada pharmacy.enforcement@moh.gov.bn atau berjumpa terus Pegawai Penguatkuasaan Farmasi di Tingkat 1, Bangunan Perkhidmatan Farmasi, Kampung Madaras, Mukim Gadong A.

ARTIKEL YANG SAMA