2 rakyat Britain antara yang terkorban

2 rakyat Britain antara yang terkorban

KABUL, 12 Okt – Dua rakyat Britain adalah antara lima anggota tentera NATO yang terbunuh dalam nahas helikopter di Kabul, tamparan hebat kedua bagi pasukan tentera Britain semalam selepas pengebom berani mati Taliban mensasarkan konvoi mereka di ibu negara.

Kejadian itu berlaku dua minggu selepas kumpulan militan yang bangkit semula itu menakluki bandar utara penting, iaitu Kunduz, kemenangan ketenteraan terbesar mereka dalam tempoh 14 tahun peperangan.

Helikopter terhempas ketika mendarat di ibu pejabat NATO di Kabul, menurut kumpulan bersekutu ketenteraan, dengan menolak sebarang kegiatan pemberontak di sebalik kejadian itu.

“Nahas itu mengakibatkan kematian lima kakitangan Bantuan Tegas (NATO) dan kecederaan lima orang lagi,” menurutnya dalam satu kenyataan tanpa mendedahkan kewarganegaraan mereka.

Kementerian pertahanan di London mengesahkan bahawa dua kakitangan Angkatan Bersenjata Udara Diraja Britain adalah antara yang terbunuh, dengan menambah kata penyiasatan telah dilancarkan ke atas nahas itu.

Kematian terbaru itu menjadikan 456 jumlah anggota pasukan Britain, kakitangan dan orang awam kementerian pertahanan yang terbunuh ketika berkhidmat di Afghanistan sejak ia menyertai serangan yang diketuai AS ke atas negara itu pada tahun 2001.

Nahas berlaku beberapa jam selepas pengebom kereta berani mati Taliban menyerang konvoi pasukan Britain di tengah Kabul, mencederakan kira-kira tiga orang awam termasuklah seorang kanak-kanak, menurut para pegawai Afghanistan.

Kementerian pertahanan Britain mengesahkan konvoi mereka telah menjadi sasaran serangan dan berkata letupan berpunca dari alat bahan letupan improvisasi. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA