2 rakyat Malaysia diculik

2 rakyat Malaysia diculik

KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Polis masih mengumpul maklumat mengenai keadaan dua rakyat Malaysia yang diculik kumpulan militan yang dikatakan mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda selepas tempat persembunyian mereka di Pulau Jolo di selatan Filipina digempur oleh pasukan keselamatan Filipina semalam.

Ketua Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, buat masa ini tiada maklumat terkini mengenai keadaan mereka.

“Kami akan maklumkan selepas kami mengumpul semua maklumat yang relevan,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurut laporan Reuters, sekurang-kurangnya 15 anggota militan terbunuh dalam operasi oleh pasukan keselamatan Filipina untuk menyelamatkan 10 warga asing yang ditahan yang dua daripadanya ialah warga Malaysia.

Agensi berita itu memetik seorang jeneral tentera sebagai berkata tidak ada berita mengenai nasib mangsa-mangsa culik yang dijadikan tebusan.

Kedutaan Malaysia di Manila dan Pejabat Konsul Jeneral Malaysia di Davao, Filipina, juga gagal dihubungi untuk mengetahui status mereka.

Dua warga Malaysia dikenali sebagai Thien Nyuk Fun, 50, dan Bernard Then Ted Fen, 39, diculik di Sandakan pada 14 Mei. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA