2 rakyat M’sia hilang di Indonesia, ditemui lemas

2 rakyat M’sia hilang di Indonesia, ditemui lemas

JAKARTA, 17 April (Bernama) – Dua rakyat Malaysia yang dilaporkan hilang di sebuah kawasan perkelahan air terjun Cunca Wulang, daerah Mibeliling di wilayah Flores ditemukan dan disahkan mati lemas.

Duta Besar Malaysia di Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim ketika dihubungi Bernama berkata, mayat Mohamad Azfar Tahir, 23, dari Kuala Lumpur dan Mohammad Ezzaq Azumi, 23, berasal dari Kelantan masing-masing ditemukan dalam kolam air terjun itu pada jam 11 pagi dan 1 petang tadi.

Mayat seorang lagi warga Flores yang dipercayai pemandu pelancong mereka, Wenseslaus Hendro Akung, 39, ditemui di tempat yang sama pada jam 3 petang, katanya.

Zahrain berkata, kesemua mayat telah dibawa ke hospital berdekatan dan pihak kedutaan sedang menguruskan untuk membawa pulang jenazah kedua-dua rakyat Malaysia itu ke Kuala Lumpur hari ini.

Mohamad Azfar dan Mohammad Ezzaq bersama seorang dua lagi rakan mereka Mohamad Qayyum Pirdous, 23, dari Perak dan Mohamad Imran Helmy Had, 23, dari Kuala Lumpur tiba di Flores, Indonesia semalam untuk bercuti.

Mohamad Qayyum dan Mohamad Imran terselamat dan tidak terjun ke dalam kolam itu setelah melihat dua rakannya bersama pemandu pelancong mereka terus hilang sebaik berbuat demikian.

Mohamad Azfar dikatakan terus terjun ke dalam kolam air terjun itu sebaik sampai tetapi setelah tidak timbul, Wenseslaus kemudiannya terjun untuk mencari.

Bagaimanapun, Wenseslaus juga didapati terkapai-kapai dan menyebabkan Mohammad Ezzaq turut terjun untuk membantu tetapi akhirnya ketiga-tiga mereka hilang.

Melihat kejadian itu, Mohamad Qayyum terus mendapatkan bantuan dan menghubungi polis dan kerja-kerja mencari dan menyelamat bermula jam 3 petang semalam tetapi terpaksa dihentikan pada 5 petang setelah cuaca gelap.

Operasi mencari dan menyelamat disambung semula pukul 6 pagi tadi dan kesemua mayat ditemukan di dasar kolam tempat kejadian itu.

ARTIKEL YANG SAMA