2 rakyat Palestin terbunuh dalam cubaan rempuh

2 rakyat Palestin terbunuh dalam cubaan rempuh

BAITULMAQDIS, 16 Dis (AFP) – Dua rakyat Palestin terbunuh semalam dalam percubaan berasingan untuk merempuh tentera Israel yang menjalankan penangkapan di sebuah kem pelarian berhampiran Ramallah, dengan menggunakan kereta, menurut sumber Israel dan Palestin hari ini.

“Malam kelmarin, semasa satu operasi dijalankan untuk menangkap warga Palestin yang dikehendaki dan untuk merampas senjata di kem pelarian Qalandiya, dua cubaan rempuhan kereta dilakukan terhadap pasukan keselamatan di dua bahagian berbeza kem berkenaan,” kata tentera Israel dalam satu kenyataan.

Kementerian Kesihatan Palestin mengesahkan kematian dua suspek dikenali sebagai Ahmad Jahajha, 21 dan Hekmat Hamdan. Tentera berkata, tiga anggotanya tercedera, termasuk seorang parah dalam serangan itu.

Warga Palestin berdiri bersebelahan dua buah kereta yang digunakan oleh penyerang Palestin dalam percubaan untuk merempuh tentera Israel di kem pelarian Qalandiya. – AFP
Warga Palestin berdiri bersebelahan dua buah kereta yang digunakan oleh penyerang Palestin dalam percubaan untuk merempuh tentera Israel di kem pelarian Qalandiya. – AFP

Pertempuran meletus di Qalandiya selepas serbuan Israel ke atas kem itu di Tebing Barat yang diduduki, menurut saksi.

Sejak 1 Oktober, serangan dan pertempuran hampir berlaku setiap hari dari pihak Palestin dan tentera Israel yang telah mengorbankan 119 warga Palestin, 17 Israel, seorang Amerika dan Eriteria.