2 salah guna lesen kerja

2 salah guna lesen kerja

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Feb – Dalam usaha berterusan untuk memastikan bahawa majikan dan pekerja asing yang bertugas tidak menyalahi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan, Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Buruh mengadakan Operasi Gempur 21/2016 di sebuah rumah, Kampung Sungai Akar, kelmarin.

Semasa pemeriksaan berkenaan, seorang pekerja berjawatan amah dan seorang berjawatan pemandu persendirian dipercayai melakukan pekerjaan membuat cendol yang didapati melakukan kesalahan penempatan dan jawatan yang tidak selaras dengan Kebenaran Lesen Mengambil dan Menggaji Pekerja Asing.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang itu, seramai 10 orang pegawai yang bertugas dari bahagian itu telah menjalankan pemeriksaan pada jam 9 pagi ke atas empat warga asing yang sedang bekerja membuat cendol.

Operasi Gempur mendapati dua kesalahan berhubung penempatan dan jawatan yang tidak selaras.
Operasi Gempur mendapati dua kesalahan berhubung penempatan dan jawatan yang tidak selaras.

Bagi kesalahan penempatan dan jawatan pekerja asing berkenaan akan diambil tindakan pembatalan/pengurangan kuota oleh Jabatan Buruh ke atas Kebenaran Lesen Mengambil dan Mengaji Pekerja Asing, majikan dan pekerja berkenaan akan dibatalkan sokongan pas kerja dan dipulangkan ke negara asal.

Sehubungan dengan itu, Jabatan Buruh memberikan peringatan kepada orang ramai dan majikan supaya tidak menyalahgunakan Lesen Mengambil dan Menggaji Pekerja Asing yang diberikan yang mana kesalahan mengambil dan menggaji pekerja asing tanpa kebenaran Pesuruhjaya Buruh, boleh diambil tindakan di bawah Bab 112 (1) Perintah Pekerjaan, 2009, jika sabit kesalahan boleh diambil tindakan Undang-undang kesalahan di bawah Bab 112 (3) Perintah yang sama iaitu didenda tidak kurang $6,000.00 dan tidak lebih $10,000.00 atau penjara tidak kurang dari 6 bulan dan tidak lebih dari 3 tahun atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai bolehlah menghubungi Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Jabatan Buruh di talian 2381848 jika mempunyai sebarang maklumat mengenai penyalahgunaan Lesen Mengambil dan Mengaji Pekerja Asing.

ARTIKEL YANG SAMA