2 set barang kes pencerobohan Lahad Datu dianalisis

2 set barang kes pencerobohan Lahad Datu dianalisis

KOTA KINABALU, 23 Okt (Bernama) – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini diberitahu bahawa seorang pengurus keselamatan siber melakukan analisis terhadap dua set barang kes berkaitan pencerobohan Lahad Datu.

Fauzi Mohd Darus daripada CyberSecurity Malaysia berkata beliau menerima beberapa barang kes daripada Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia pada 29 Mac 2013 dan satu set lagi pada 9 April tahun yang sama.

“Barang kes telah diasingkan mengikut laporan polis dan saya mendaftarkan setiap barang dengan nombor rujukan CyberSecurity Malaysia,” katanya dan menambah bahawa barang berkenaan ialah telefon bimbit, kad SIM dan kad memori.

Beliau memberi keterangan pada perbicaran 30 individu yang dikaitkan dengan pencerobohan lelaki Sulu bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada Februari 2013.

Menurut Fauzi, beliau membawa barang kes itu ke pejabatnya di CyberSecurity Malaysia dan menyimpannya di dalam Bilik Penyimpanan Barang Bukti.

Fauzi memberitahu mahkamah bahawa beliau menggunakan peralatan forensik dikenali sebagai XRY v6.5.1 untuk menganalisis telefon bimbit dan kad SIM berkenaan, manakala satu lagi peralatan forensik dikenali sebagai ENCASE v6.18 pula digunakan untuk menganalisis kad memori.

Kata Fauzi, beliau menyediakan laporan analisis siber pada September 2013 dan mengeluarkan versi kedua laporan itu pada April tahun lepas, termasuk butiran terperinci mengenai dapatannya tentang barang kes berkenaan.

Dua puluh tujuh warga Filipina dan tiga penduduk tempatan dibicarakan atas pelbagai tuduhan termasuk menganggotai kumpulan pengganas dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Mereka juga dituduh merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Februari dan 10 April 2013.

Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung pada 26 Oktober.