2 suspek bunuh 14, tumpas

2 suspek bunuh 14, tumpas

SAN BERNARDINO, AS, 3 Dis (AFP) – Dua suspek yang lengkap bersenjata, seorang lelaki dan seorang perempuan berusia dalam 20-an, telah terbunuh dalam kejadian tembak menembak dengan pihak polis selepas membunuh 14 orang di sebuah pesta Krismas di California dalam penembakan besar yang mengorbankan ramai orang di Amerika dalam tempoh tiga tahun.

Polis mengenal pasti kedua-duanya sebagai Syed Farook, warga Amerika Syarikat (AS) berusia 28 tahun yang bekerja di wilayah tempatan, dan Tashfeen Malik, 27 tahun yang kewarganegaraannya belum diketahui.

Mereka berkata kedua-dua suspek itu sama ada suami isteri atau pasangan kekasih.

Jarood Burguan, ketua polis San Bernardino mengesahkan kedua-duanya telah meninggal dunia dan pihak polis tidak percaya adanya suspek ketiga masih bebas.

Suspek berkenaan menyasarkan pesta akhir tahun yang diadakan di sebuah bangunan perkhidmatan sosial di San Bernardino, kira-kira pemanduan sejam timur Los Angeles, membunuh 14 orang dan mencederakan 17 orang lagi.

Para pegawai polis melancarkan pemburuan selepas berlakunya amukan senjata di San Bernardino California, kelmarin. – Reuters
Para pegawai polis melancarkan pemburuan selepas berlakunya amukan senjata di San Bernardino California, kelmarin. – Reuters

“Kami tidak ada motif pada tahap ini,” kata ketua polis.

Pembunuhan beramai-ramai itu mengundang respons berang dari Presiden Barack Obama, yang sekali lagi menggesa Kongres supaya meluluskan langkah kawalan senjata lebih ketat untuk mengekang keganasan yang bertambah.

Menurut Burguan, Farook adalah kakitangan wilayah dan pakar persekitaran dalam jabatan kesihatan awam.

Dia dan Malik mengenakan pakaian gaya tentera dan membawa senjata apabila mereka menyerbu masuk ke dalam auditorium yang di situ berlaku pertumpahan darah, yang dipinjamkan oleh bagi pesta percutian oleh Pusat Serantau Pedalaman bagi mereka yang kurang upaya.

Burguan berkata Farook menghadiri pesta Krismas yang diadakan oleh jabatan kesihatan dan meninggalkannya selepas berlaku perbalahan, tetapi kembali tidak lama kemudian dan melancarkan pembunuhan beramai-ramai.

“Dia meninggalkan parti itu awal kerana beberapa keadaan yang disifatkan sebagai marah atau sesuatu seperti itu,” katanya.

Tetapi Buruguan berkata ini tidak mungkin jenayah yang dilakukan dalam kemarahan pada ketika itu.

“Berdasarkan apa yang kami lihat dan berdasarkan bagaimana mereka dilengkapi, wujud beberapa tahap perancangan,” katanya.

“Dengan demikian, saya tidak fikir dia hanya pulang ke rumah, mengenakan pakaian taktikal mencapai senapang dan kembali tanpa dirancang.”