2 syarikat kendali umrah

2 syarikat kendali umrah

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Nov – Hanya dua buah syarikat operator umrah iaitu Darussalam Holdings Sdn Bhd dan Straits Central Agencies (B) Sdn Bhd telah diberikan kebenaran oleh Jabatan Urusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) untuk mengendalikan perkhidmatan pakej umrah pada masa ini.

Perkara itu diumumkan oleh Pemangku Pengarah Urusan Haji, KHEU, Haji Abdullah bin Haji Mohammad semasa sidang media yang diadakan di kementerian itu hari ini.

Menurut beliau, pada musim cuti persekolahan yang akan bermula tidak lama lagi ini, jumlah mereka yang ingin menunaikan ibadat umrah dijangka akan meningkat.

Oleh itu, beliau menasihati orang ramai yang berhasrat untuk menunaikan umrah supaya berurusan serta mengikuti pakej-pakej umrah yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat operator umrah yang dibenarkan.

Beliau juga berkata, Jabatan Urusan Haji telah menerima permohonan-permohonan untuk mengendalikan perkhidmatan pakej umrah daripada agensi-agensi pelancongan tempatan yang berminat.

Haji Abdullah ketika memberikan penerangan kepada pihak media mengenai syarikat-syarikat operator umrah yang diberikan kebenaran untuk mengendalikan perkhidmatan pakej umrah pada masa ini.
Haji Abdullah ketika memberikan penerangan kepada pihak media mengenai syarikat-syarikat operator umrah yang diberikan kebenaran untuk mengendalikan perkhidmatan pakej umrah pada masa ini.

Bagaimanapun, jelas beliau, syarikat-syarikat operasi tempatan itu, harus memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan dan permohonan-permohonan mereka dalam penelitian oleh pihak yang berkenaan.

“Setakat ini, permohonan-permohonan tersebut sedang diteliti sehalus-halusnya mengikut syarat-syarat dan kehendak yang ditetapkan oleh kerajaan Negara Brunei Darussalam dan juga pihak Kerajaan Arab Saudi.”

Beliau percaya dengan penyertaan lebih banyak daripada syarikat-syarikat operator umrah yang berkelayakan pada masa akan datang, akan memberikan mutu perkhidmatan yang lebih baik serta lebih kompetitif kepada orang ramai.

ARTIKEL YANG SAMA