2 syarikat tumpu pembangunan sumber manusia

2 syarikat tumpu pembangunan sumber manusia

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 28 Feb – Sebuah syarikat tempatan di sini, Syarikat Nishio Sdn Bhd telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat Indonesia, Pertamina Drilling Services (PDSI), pada majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat KRI Drilling Services Jakarta, Indonesia baru-baru ini.

Menandatangani MoU bagi pihak PDSI telah disempurnakan oleh Pengarah Presiden Lelin Eprianto manakala bagi pihak Syarikat Nishio Sendirian Berhad disempurnakan oleh Pengarahnya Wong Khai Wah.

Turut hadir ialah Pengarah Pemasaran PDSI, Satoto Agustono, Pengarah Operasi, Lim Soon Fah, Pengurus Am Nishio, Rahul Ramesh dan Penasihat Korporat Taufik Wazar.

Pengarah Syarikat Nishio Sdn Bhd, Wong Khai Wah memberitahu hari ini, MoU tersebut dibuat antara lain adalah bagi penyelesaian kos efektif dan menyediakan pembangunan sumber manusia di negara ini, dan beliau berharap ia satu permulaan yang boleh membantu peningkatan penempatan pekerjaan tempatan dalam jangka masa panjang.

Gambar ramai wakil kedua-dua syarikat.
Gambar ramai wakil kedua-dua syarikat.

Sementara itu, Pengurus Am Syarikat Nishio, Rahul Ramesh, berharap dengan termeterainya MoU itu, kedua-dua pihak dapat menubuhkan kemudahan ke arah pembangunan negara melalui latihan penggerudian kepada generasi masa depan, selain berharap sokongan daripada Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta agensi-agensi berkenaan, bahawa usaha ini akan menjadi satu kejayaan dalam industri tersebut selaras dengan Wawasan Negara 2035.

PDSI adalah sebuah syarikat kontraktor penggerudi di rantau ASEAN dengan pengalaman dan aset yang tinggi serta dimiliki 100 peratus oleh Perlombongan Minyak dan Cecair Gas (PT PERTAMINA (Persero) dan PT Pertamina Tenaga Hulu) Kerajaan Indonesia, telah mengambil keputusan yang pertama kalinya melangkah ke luar negara dan terlibat dalam sektor minyak dan gas di Brunei bersama Syarikat Nishio Sdn Bhd.

Selain mempunyai lebih 40 buah pelantar dan enam buah yang baru, mereka juga mempunyai kemudahan dan turut menumpu ke arah latihan dan pembangunan sumber manusia dalam sektor minyak dan gas.

ARTIKEL YANG SAMA