2 tentera Pak...

2 tentera Pakistan maut dalam tembakan rentas sempadan

PESHAWAR, Pakistan, 17 Mac – Sekurang-kurangnya dua kakitangan keselamatan Pakistan terbunuh dalam penembakan sempadan dari Afghanistan hari ini, kata tentera, apabila lelaki bersenjata menyerang satu tempat pemeriksaan berhampiran sempadan di kawasan barat laut.

Serangan di daerah puak Khyber dituntut oleh Jamaat-ul-Ahrar (JuA), satu puak di bawah naungan Taliban Pakistan, dan berlaku pada masa ketegangan memuncak di antara Pakistan dan Afghanistan.

“Pengganas dari Pak-Bdr berusaha melancarkan serangan fizikal ke atas Pos Pak FC di Agensi Khyber,” kata kenyataan tentera, menambah enam militan juga terbunuh dalam kejadian itu.

Islamabad menyalahkan Kabul kerana melindungi JuA dan militan lain yang melancarkan beberapa siri serangan pada Februari yang membunuh 130 orang di seluruh negara dan mencetuskan kebimbangan mengenai kebangkitan militan.

Afghanistan juga menuduh Pakistan memberikan perlindungan kepada Taliban Afghan.

Awal hari ini, tentera Pakistan juga bertempur menentang dua pengebom berani mati yang cuba memasuki sebuah pusat latihan FC di barat laut wilayah Khyber Pakhtunkhwa.

Suhail Khalid, ketua polis di daerah Charsadda, memberitahu AFP pengebom berani mati melepaskan tembakan pada pagar utama dan seterusnya memasuki kem latihan.

“Seorang pengebom meletup dirinya, sementara yang kedua ditembak mati,” kata Khalid. Seorang tentera FC terbunuh dan yang kedua cedera, menurut kenyataan tentera. – AFP