2 terima biasiswa belajar di China

2 terima biasiswa belajar di China

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Julai – Dua pelajar Brunei telah dipilih untuk menerima biasiswa penuh yang ditawarkan oleh kerajaan Republik Rakyat China bagi melanjutkan pelajaran mereka di China.

Sehubungan dengan itu, penyampaian surat biasiswa kepada Awang Abdul Waie bin Mohd Yussof dan Dayang Nurul Ain Shahida binti Mohd Shari telah diadakan di Kedutaan Republik Rakyat China di Brunei Darussalam, Sungai Hanching, hari ini, dan disempurnakan oleh Duta Besar Republik Rakyat China ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yang Jian.

Di bawah biasiswa itu, Awang Abdul Waie akan melanjutkan pengajian Sarjana Muda di Jabatan Kuliah Ekonomi dan Pengurusan di Southeast University of China dalam program Ekonomi dan Perdagangan Antarabangsa dari September 2016 hingga Julai 2020.

Manakala itu, Dayang Nurul Ain Shahida akan melanjutkan pengajian sarjana muda di Kolej Bahasa dan Kebudayaan China, di Beijing Normal University juga dari September 2016 hingga Julai 2020.

Dayang Nurul Ain semasa ditemui, memberitahu beliau memang telah menyasarkan untuk melanjutkan pengajian ke China, kerana kebanyakan pelajar Brunei menuntut di United Kingdom, lagipun beliau sudah beberapa kali ke China sejak kecil lagi tambahan lagi, saudara maranya turut berada di China pada masa ini.

Awang Abdul Waie dan Dayang Nurul Ain Shahida bergambar ramai bersama Puan Yang Terutama Yang Jian serta keluarga masing-masing.
Awang Abdul Waie dan Dayang Nurul Ain Shahida bergambar ramai bersama Puan Yang Terutama Yang Jian serta keluarga masing-masing.

“Dengan peluang pembelajaran saya ini nanti akan dapat digunakan untuk menyumbang kepada kerajaan Negara Brunei Darussalam terutama sumbangan tenaga ke Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan”.

Ayah Dayang Nurul Ain, Awang Mohd Shari bin Haji Ahmad turut memberitahu beliau sangat berbangga dan menyokong sepenuhnya cadangan anaknya untuk melanjutkan pelajaran ke China.

“Saya mewakili keluarga mengucapkan sebanyak-banyak terima kasih kepada kerajaan negara China kerana menawarkan biasiswa kepada anak saya ke universiti yang terkemuka di China”.

Menurut beliau, Bahasa Mandarin adalah bahasa dunia, jadi mempelajarinya adalah satu kelebihan, oleh itu beliau menggalakkan anak beliau untuk mempelajari bahasa tersebut bagi kegunaan masa depan.

“Lagipun, ini bukan kali pertama anak saya pergi ke China, bahkan saya sendiri pernah mengikuti kursus di China dalam pembelajaran yang sama, saya sangat berbangga di atas langkah yang sama dibuat oleh anak saya,” katanya.