2 wakili PPNBD ke Filipina

2 wakili PPNBD ke Filipina

Oleh Sim Y.H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Okt – Dengan hasrat untuk membincangkan perkara-perkara yang penting mengenai kegiatan pengakap di rantau ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Serantau Pengakap ASEAN akan mengadakan Persidangan Pertubuhan Kerjasama Serantau Pengakap ASEAN yang akan berlangsung di Ibu Pejabat Boy Scouts of Philippines, Filipina.

Persidangan itu akan dihadiri oleh pertubuhan-pertubuhan pengakap dari negara-negara ASEAN termasuk Negara Brunei Darussalam melalui Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD).

Sehubungan dengan itu, dua orang Pesuruhjaya Pengakap PPNBD iaitu Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali dan Setiausaha Agung Pengakap, Haji Zainuddin bin Haji Jaafar, hari ini, berlepas ke Manila, Filipina bagi menghadiri persidangan berkenaan.

Hadir di dewan berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar kepada dua orang pesuruhjaya pengakap itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Pengakap, Pegawai Eksekutif Pengakap dan Penolong Pengurus Hartanah.

pg09_151012_b
Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali dan Setiausaha Agung Pengakap, Haji Zainuddin bin Haji Jaafar

Persidangan berkenaan akan membincangkan beberapa perkara penting mengenai kegiatan-kegiatan terkini yang dijalankan oleh Pertubuhan Kerjasama Serantau Pengakap ASEAN.

Antara agenda penting yang bakal dibincangkan termasuk mengenai Persidangan Pengakap Rantau Asia Pasifik ke-25 di Korea Selatan pada 3 hingga 8 November, penyerahan tugas Pengerusi Pertubuhan Kerjasama Serantau Pengakap ASEAN daripada Persekutuan Pengakap Malaysia kepada Boy Scouts of Philippines.

Di samping itu, semasa berada di Filipina nanti, PPNBD juga akan menyerahkan sumbangan bantuan kemanusiaan mangsa bencana gempa bumi di Nepal pada 25 April lalu berjumlah AS$3,000 kepada Pejabat Pengakap Rantau Asia Pasifik di Manila, Filipina untuk diserahkan kepada Persekutuan Pengakap Negara Nepal.

ARTIKEL YANG SAMA