2 warga asing ditahan, salah guna pas

2 warga asing ditahan, salah guna pas

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Ogos – Dua lelaki warganegara asing telah dikeluarkan pas khas apabila didapati menyalahgunakan pas imigresen dalam pemeriksaan mengejut pegawai-pegawai penguat kuasa Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) ke atas Projek Tambahan Rumah Skim Perpindahan Mukim Tanah Jambu, hari ini.

Dalam Ops Cekup JIPK yang melibatkan 13 pegawai dan diketuai oleh ketua pegawai imigresen itu, pasport kedua-dua lelaki berkenaan telah ditahan dan surat panggilan dikeluarkan ke atas pemilik rumah berkenaan bagi membantu siasatan.

Sehubungan dengan itu, JIPK dalam kenyataannya mengingatkan para majikan/ penjamin (pas kerja/lawatan) supaya memastikan tempoh pas imigresen pekerja asing / pemegang pas lawatan masih sah dan sentiasa mengetahui keberadaan mereka.

Sementara itu, pemegang pas kerja/ lawatan juga diingatkan supaya tidak akan menyalahgunakan pas mereka di negara ini, yang mana jika sabit kesalahan pas imigresen mansuh, mereka akan diusir setelah dipenjarakan dan secara pentadbiran akan disenarai hitamkan manakala penjamin juga akan berdepan dengan tindakan undang-undang.

Dalam pada itu, JIPK turut mengingatkan pihak majikan supaya tidak mengambil bekerja warganegara asing yang bukan atas jaminan mereka atau “amah pinjam” atau pemegang pas melawat kerana jika sabit kesalahan majikan akan dikenakan denda tidak kurang daripada $3,000 bagi setiap pesalah Imigresen.

Ke arah aktiviti penguatkuasaan, orang ramai dialu-alukan untuk memberikan maklumat berhubung pesalah imigresen dengan menghubungi hotline JIPK di talian 8734888 dan 8753888. Sebarang maklumat dan nama pemberi maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya.

Dua lelaki dicekup semasa operasi mengejut ketika mereka sedang bekerja di sebuah rumah.
Dua lelaki dicekup semasa operasi mengejut ketika mereka sedang bekerja di sebuah rumah.

ARTIKEL YANG SAMA