2 warga asing kena cekup

2 warga asing kena cekup

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 8 Julai – Dua warga asing telah ditahan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) kerana didapati tinggal lebih masa dan bekerja di negara ini.

Kedua-dua warga asing terbabit sedang berehat di kawasan luar rumah Perumahan Negara Bukit Beruang Tutong, apabila pegawai penguat kuasa membuat operasi pemeriksaan Isnin lalu, dan mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

Menurut bahagian penguatkuasaan berkenaan, semasa siasatan, salah seorang daripadanya memberitahu pasport asalnya disimpan oleh seorang lelaki tempatan yang bertindak sebagai ejen untuk urusan penyambungan jaminan Pas Imigresen, bagaimanapun dia gagal untuk membuktikan kesahihan penjelasannya itu.

Hasil penelitian selanjutnya, bahagian penguatkuasaan mendapati warganegara asing terbabit telah tinggal lebih masa di negara ini selama 561 hari setelah Pas Melawatnya mansuh.

Manakala itu, seorang lagi warganegara asing berkenaan mengakui bahawa dokumen pengenalan dirinya (pasport) dalam simpanan majikan asalnya.

Dua orang warga asing dicekup melalui Ops Pemeriksaan Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan.
Dua orang warga asing dicekup melalui Ops Pemeriksaan Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan.

Berikutan itu, kedua-dua mereka telah ditahan untuk siasatan dan tindakan lanjutan bahagian penguatkuasaan berkenaan.

Operasi kira-kira pukul 9:40 malam itu melibatkan penyertaan empat orang pegawai Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang JIPK dan diketuai oleh Pegawai Imigresen Kanan.

Pemangku Ketua Pegawai Imigresen, Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Kuala Belait sekali lagi mengingatkan semua majikan dan juga mana-mana individu terutama sekali warganegara asing supaya sentiasa patuh dan tidak melanggar sebarang akta dan peraturan imigresen.

Beliau juga menekankan bahawa bahagian penguatkuasaan tersebut akan sentiasa menjalankan atau melaksanakan aktiviti-aktiviti penguatkuasaan berterusan sama ada secara persendirian atau bersama dengan agensi penguatkuasa lainnya.

Jabatan itu juga mengalu-alukan orang ramai bagi sama-sama memberikan maklumat berhubung pesalah-pesalah imigresen, dengan menghubungi hotline JIPK di talian 8753888 atau 8734888, dan sebarang maklumat dan nama pemberi maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya.

ARTIKEL YANG SAMA