2 warga Australia dijangkiti Zika

2 warga Australia dijangkiti Zika

SYDNEY, 3 Feb – Dua warga Australia disahkan dijangkiti virus Zika selepas kembali dari kepulauan Carribbean, menurut perkhidmatan kesihatan negeri hari ini yang mengesahkan kes pertama virus bawaan nyamuk di negara itu tahun ini.

Menurut pihak berkuasa, nyamuk pembawa virus itu dikesan di Lapangan Terbang Antarabangsa di sini, namun menegaskan ia kemungkinan tidak disebarkan secara tempatan oleh kerana ketiadaan jumlah Aedes aegypti yang banyak.

Pengesahan jangkitan itu di Australia berlaku sehari selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan virus Zika adalah satu kecemasan kesihatan awam antarabangsa berikutan kaitannya dengan kecacatan otak dalam kalangan bayi.

Jabatan Kesihatan New South Wales (NSW) menyatakan dua penduduk di sini didiagnosis dengan virus Zika itu Jumaat lalu selepas kembali ke Australia dari Haiti.

Diagnosis rasmi boleh mengambil masa beberapa minggu dan jabatan itu tidak mendedahkan bila pasangan terbabit diuji. Menurutnya, pasangan itu menunjukkan kes sederhana virus dan kini sudah pulih.

Pengarah Penyakit Berjangkit Jabatan Kesihatan NSW, Vicky Sheppeard, berkata; “Agak mustahil virus Zika disebarkan secara tempatan di NSW oleh kerana nyamuk yang menyebarkan jangkitan tidak wujud di sini, walaupun ia ditemui di beberapa bahagian di utara Queensland,” katanya.

Terdahulu hari ini, Jabatan Pertanian berkata ia melaksanakan penyemburan tambahan racun serangga di kabin pesawat yang tiba ke bandar ini dari negara Asia Tenggara. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA