2 warga Australia tidak didakwa, dihantar pulang

2 warga Australia tidak didakwa, dihantar pulang

KUCHING, 15 Mac (Bernama) – Dua warga Australia yang ditahan kerana melanggar garisan keselamatan semasa lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di sebuah masjid di Sarawak Sabtu lepas tidak akan didakwa.

Sebaliknya Eroglu Levent dan Linton Joshua Besser yang ditahan di Kota Sentosa, dekat sini akan dihantar pulang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri SAC Dev Kumar berkata polis telah menghantar kertas siasatan kepada timbalan pendakwa raya semalam (DPP).

“Hari ini polis menerima arahan daripada DPP bahawa tiada dakwaan akan difailkan terhadap mereka berdua.

Bagaimanapun, mereka akan dihantar pulang mengikut Seksyen 18(3)(h) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Kedua-dua mereka pada awalnya dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan mereka diambil.

Mereka disiasat kerana disyaki menghalang penjawat awam menjalankan tugas, di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan. – Bernama

Dalam kejadian pada 8.35 malam pada Sabtu lepas itu, polis telah menahan dua rakyat Australia itu di Masjid Darul Ehsan, Kampung Haji Baki, Kuching kerana cuba mendekati Najib secara agresif ketika perdana menteri menghadiri majlis bersama rakyat. Mereka telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan bagi siasatan lanjut.

Kedua-dua rakyat Australia yang masing-masing berusia 51 dan 39 tahun itu mendakwa bertugas sebagai wartawan dengan Australian Broadcasting Corporation berpangkalan di Sydney. Kedua-dua warga Australia itu merupakan ‘investigative journalist’.