2 warga Filipina peluk Islam

2 warga Filipina peluk Islam

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Mei – Agama Islam terus berkembang pada hari yang penuh keberkatan ini, ketika umat Islam memperingati Sambutan Israk Mikraj, apabila dua orang warga Filipina melafazkan dua kali syahadah, hari ini.

Majlis pengislaman Don Arvin Angel Dacumos, 23, dan Bella Angel Maturan, 42, yang sebelum ini beragama Katolik telah berlangsung di kediaman Haji Kamsani bin Kamis iaitu rakan keluarga mereka, di Kampung Jangsak. Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof berserta isteri.

Dengan mengucap dua kalimah syahadah, kini Don Arvin Angel Dacumos, dikenali dengan nama Islamnya sebagai Muhammad Awie bin Abdullah, manakala Bella Angel Maturan telah memilih nama Nur Varisha binti Abdullah.

Pengislaman kedua-duanya telah disempurnakan oleh pegawai Unit Pengislaman, Pusat Dakwah Islamiah. Majlis telah diserikan dengan Dikir Marhaban dan menabur bunga rampai yang dimulakan oleh Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi, kepada kedua-dua saudara baru yang diraikan berkenaan.

Awang Muhammad Awie ketika ditemu bual Media Permata menjelaskan bahawa beliau berasa senang hati kerana memilih Islam sebagai pegangan hidupnya.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi hadir pada Majlis Pengislaman berkenaan.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi hadir pada Majlis Pengislaman berkenaan.
Muhammad Awie dan Nur Varisha yang memeluk agama Islam ketika umat Islam di negara ini menyambut Israk Mikraj.
Muhammad Awie dan Nur Varisha yang memeluk agama Islam ketika umat Islam di negara ini menyambut Israk Mikraj.

“Agama Islam telah lama saya ketahui sebelum saya berada di Brunei lagi,” ujar beliau yang sudah berada di Brunei hampir empat tahun.

“Memang hajat saya untuk memeluk Islam sudah lama iaitu sejak saya di Manila, Filipina lagi, dan akhirnya pada hari ini, hajat saya tercapai.” Manakala itu, Dayang Nur Varisha yang merupakan ibu saudara Awang Muhammad Awie, pula memberitahu bahawa selepas ini beliau akan mempelajari lagi lebih lanjut mengenai Islam.

“Saya memang mengetahui tentang agama Islam kerana saya bergaul dengan kawan-kawan saya yang beragama Islam. Dan dari sana, saya telah dapat menyesuaikan diri dengan cara hidup beragama Islam.

“Selain itu, sebelum saya ke Brunei, saya pernah mendengar mengenai Islam dan saya juga memiliki Kitab Al-Quran dalam versi Bahasa Inggeris yang telah diberikan oleh salah seorang kawan saya, dan saya juga selalu membacanya sebelum datang ke Brunei.”

Beliau juga menekankan bahawa pengaruh daripada gaya hidup, persekitaran dan juga rakan-rakan di Brunei juga memainkan peranan penting dalam pilihan agama Islam beliau.

Setakat bulan April, seramai 190 orang telah memeluk Islam pada tahun ini dengan Daerah Brunei dan Muara mencatatkan seramai 78 saudara baru, menurut catatan yang diberikan oleh Pusat Dakwah Islamiah.

ARTIKEL YANG SAMA