2 warga Palestin terbunuh selepas serang peneroka

2 warga Palestin terbunuh selepas serang peneroka

NABLUS, Wilayah Palestin, 2 Mac (AFP) – Dua warga Palestin dibunuh oleh tentera Israel hari ini selepas menyusup masuk ke penempatan Tebing Barat dan mencederakan seorang peneroka, menurut tentera.

“Dua penyerang menyusup masuk ke komuniti Eli, selatan Nablus. Mereka menyerang seorang lelaki di luar rumahnya,” menurut tentera dalam satu kenyataan.

“Pasukan tentera tiba… (dan) menembak penyerang, mengakibatkan kematian mereka.”

Roy Harel, seorang penduduk penempatan itu, mengalami cedera ringan semasa serangan pisau dan dikejarkan ke hospital.

Roy memberitahu laman berita Ynet yang dia berjaya menangkis penyerang itu dan mengurung dirinya dalam rumah di mana isteri dan lima anaknya juga berada di sana.

Dua warga Palestin yang terbunuh itu dikenal pasti oleh polis Palestin sebagai Labib Azzam dan Mohammed Zaghlwan, berusia 18 dan dari kampung Qaryut berhampiran penempatan itu.