2 warga tempatan ditahan berkaitan ganja

2 warga tempatan ditahan berkaitan ganja

KUALA BELAIT, 20 Mac – Dua orang warga tempatan, lelaki berusia 27 tahun dan perempuan berusia 25 tahun, telah ditahan oleh Biro Kawalan Narkotik (BKN) ketika masuk ke Negara Brunei Darussalam melalui Pos Kawalan Sungai Tujuh kerana dipercayai terlibat dengan kegiatan penyalahgunaan dadah, kira-kira 8:15 malam 10 Mac lalu.

Hasil daripada pemeriksaan yang dijalankan, pihak BKN telah menemui daun-daun kering yang dipercayai dadah jenis ganja seberat 5.96 gram, menurut kenyataan yang dikeluarkan BKN, hari ini.

Berikutan dengan penahanan dan rampasan daun-daun kering tersebut, pemeriksaan lanjut telah dibuat ke atas kediaman lelaki berkenaan di mana pihak BKN menemui tiga blok daun kering mampat dipercayai ganja, dianggarkan berat tiga kilo lebih yang bernilai lebih kurang $45,000 di pasaran gelap.

Lelaki berkenaan disiasat di bawah Seksyen 3A Akta Penyalahgunaan Dadah Penggal 27 iaitu kesalahan memiliki dadah bagi tujuan mengedar dan Seksyen 6(b) Akta Penyalahgunaan Dadah Penggal 27 iaitu kesalahan mengambil dadah terkawal

Sementara itu, perempuan berkenaan disiasat di bawah Seksyen 5 Akta Penyalahgunaan Dadah Penggal 27 iaitu membawa masuk dadah yang terkawal ke Negara Brunei Darussalam, Seksyen 6(b) Akta Penyalahgunaan Dadah Penggal 27 iaitu kesalahan mengambil dadah terkawal dan di bawah Seksyen 7 iaitu kesalahan bagi memiliki perkakas bagi menyalahgunakan dadah.

Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 3A Akta bagi berat ganja yang melebihi 600 gram, hukumannya adalah gantung hingga mati.

Sehubungan itu, BKN dalam kenyataannya mengingatkan ibu bapa dan penjaga agar memantau dan memata-matai anak-anak mereka serta mengetahui kegiatan dan rakan-rakan mereka supaya tidak terjebak dengan aktiviti penyalahgunaan dadah ataupun jenayah-jenayah lain.

BKN turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai atas segala maklumat yang telah diberikan dan seterusnya mengalu-alukan kerjasama yang berpanjangan daripada orang ramai dengan menyampaikan maklumat berhubung kait dengan kegiatan penyalahgunaan dadah dengan menghubungi talian 2448877 (waktu pejabat) dan hotline 8777444 (selepas waktu pejabat).

ARTIKEL YANG SAMA