2 warga Turki dibebaskan

2 warga Turki dibebaskan

BASRA, Iraq, 16 Sept (AFP) – Dua daripada 18 pekerja Turki yang diculik oleh lelaki bersenjata di Baghdad bulan ini telah dibebaskan di wilayah selatan Basra, menurut pegawai Turki dan Iraq hari ini.

Lelaki itu merupakan dalam kalangan 18 pekerja bagi firma pembinaan Turki, Nurol Insaat yang diculik pada 2 September di bandar Sadr City utara Baghdad, tempat mereka sedang bekerja bagi projek stadium bola sepak.

Penculikan itu didakwa dilakukan oleh kumpulan militan yang tidak dikenali yang mengatakan diri mereka puak Syiah, dan ulama agung Ayatollah Ali al-Sistani telah menuntut agar mereka dibebaskan.

Duta Turki ke Iraq, Faruk Kaymakci mengatakan dua pekerja itu telah dibebaskan dan ditemui berhampiran premis syarikat Turki di Basra.

“Mereka berada dalam kesihatan yang bagus,” ujarnya kepada AFP.

“Mereka mengatakan 16 yang lain juga dalam kesihatan yang baik pada semalam (Selasa).”

Polis Basra mengeluarkan kenyataan mengatakan dua lelaki itu ditemui lewat Selasa, sementara jurucakap kementerian luar negeri Turki juga mengesahkan pembebasan mereka.

“Dua daripada 18 yang diculik di Baghdad telah dibebaskan. Dua pekerja itu ialah Necdet Yilmaz dan Ercan Ozpilavci,” jurucakap Tanju Bilgic memberitahu agensi berita Dogan.

Kumpulan militan itu mendakwa penculikan itu, yang mengenalkan diri mereka sebagai Furaq al-Mawt, atau ‘Skuad Penembak’, mengeluarkan senarai tuntutan yang Ankara harus penuhi bagi membebaskan mereka.