20 diberkas terlibat judi

20 diberkas terlibat judi

pg06_150804_a

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Ogos – Seramai 20 orang, enam daripadanya warga tempatan, empat penduduk tetap dan 10 warga asing diberkas dalam satu operasi polis ke atas sebuah rumah, dipercayai sarang perjudian di Kampung Sungai Hanching awal pagi semalam.

Serbuan diketuai oleh Jabatan Siasatan Jenayah, yang terdiri daripada anggota AntiMaksiat, dibantu oleh Unit Pecah Masuk Rumah dan Pencurian Kereta dan anggota CID Daerah Polis Tutong.

Pemangku Ketua Unit Perhubungan Awam, Pasukan Polis Diraja Brunei, ASP Haji Mohamad Noor bin Haji Abdul Rahman dalam satu kenyataan di sini berkata, dalam operasi itu, polis turut merampas peralatan perjudian berkaitan permainan ‘paikau’ yang ditemui di lokasi serbuan.

Sejumlah wang tunai $13,350, dipercayai digunakan bagi perjudian juga diturut dirampas sebagai bahan bukti.

Kesemua yang diberkas, kini disiasat di bawah Seksyen 6(2) Akta Rumah Perjudian, Perkara 28, yang membawa hukuman maksimum bagi sesiapa yang berada di dalam atau lari dari rumah perjudian, adalah denda $10,000 dan penjara enam bulan.

Selain itu, pemilik rumah tempat perjudian dijalankan akan juga disiasat di bawah Seksyen 4 (a) Akta Rumah Perjudian yang mana hukuman maksimum adalah denda $20,000 dan penjara 12 bulan. Dalam insiden berasingan, anggota-anggota Anti Maksiat telah menangkap seorang wanita warga asing yang dipercayai membantu dalam kutipan nombor loteri “4D” pada 28 Julai 2015 di Kampung Ban 6, Mukim Kilanas.

Polis juga berjaya menahan 23 orang yang dipercayai membeli loteri ‘4D’. Kesemua yang ditahan dibawa untuk disoal siasat dan penyiasatan seterusnya.

Orang ramai adalah sentiasa digesa memberi maklumat berhubung sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang, kepada balai polis berdekatan dan dinasihatkan supaya tidak terlibat daripada sebarang kegiatan judi.

ARTIKEL YANG SAMA