20 dilatih bagi bakal pemimpin TelBru

20 dilatih bagi bakal pemimpin TelBru

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Nov – TelBru telah memilih 20 lagi kakitangannya untuk menjalani Program Pengurusan Lanjut (AMP) di bawah Program Pembangunan Bakat syarikat berkenaan yang berlangsung selama setahun.

Mereka telah menerima fail-fail kerja dan buku pada majlis yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif TelBru, David Kay, di Ibu Pejabat TelBru, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, hari ini.

Menurut kenyataan TelBru, mereka yang dipilih berkenaan merupakan kumpulan kedua kakitangan yang telah dikenal pasti untuk dilatih sebagai pemimpin masa depan syarikat berkenaan.

Program ini merupakan satu lagi langkah besar dalam usaha-usaha pembangunan sumber manusia TelBru yang berterusan dalam melahirkan dan mengenal pasti bakat-bakat dalam syarikat itu.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, TelBru memberitahu bahawa seramai 60 kakitangan kaunternya, hari ini, telah berjaya menamatkan program kesedaran Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE).

Seramai 20 kakitangan TelBru yang dipilih untuk menjalani Program Pengurusan Lanjut bagi bakal pemimpin masa depan syarikat itu.
Seramai 20 kakitangan TelBru yang dipilih untuk menjalani Program Pengurusan Lanjut bagi bakal pemimpin masa depan syarikat itu.
Beberapa kakitangan TelBru ketika menyertai Program Kesedaran Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar.
Beberapa kakitangan TelBru ketika menyertai Program Kesedaran Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar.

Program berkenaan telah dibahagikan kepada tiga sesi bermula 11 November lalu dan diadakan di Pusat Pembelajaran TelBru, Berakas.

Menurut kenyataan itu, objektif program adalah untuk mendidik dan mempersiapkan kakitangan kaunter mengenai kepentingan amalan-amalan HSE sekiranya berlaku sebarang situasi kecemasan di cawangan-cawangan TelBru.

Ini termasuklah pengetahuan asas mengenai HSE seperti dasar-dasar HSE, peranan dan tanggungjawab semua kakitangan kepada HSE, pendokumenan dan prosedur HSE, keselamatan pejabat, keselamatan elektrik asas, ergonomik, pengetahuan pertolongan cemas asas termasuk CPR, tercekik dan serangan jantung.

Selain daripada itu, kakitangan juga dilatih bagaimana menggunakan alat pemadam api sekiranya berlaku kebakaran dan mendengar taklimat mengenai jenis-jenis alat pemadan api.

Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif seluruh negara untuk mempromosikan budaya dan kesedaran HSE dalam kalangan kakitangannya serta sebagai garis panduan untuk membantu rakan-rakan atau pelanggan mereka ketika berlaku sebarang kecemasan.

ARTIKEL YANG SAMA