20 guru sertai bengkel BTEC

20 guru sertai bengkel BTEC

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Mei – Seramai 20 orang guru dari Brunei Technical Education Council (BTEC) Level 2 International Hospitality Programme dari 13 buah sekolah kerajaan telah menyertai Bengkel Persediaan untuk Mengajar yang dikendalikan oleh Pearson (UK) Education Limited dengan kerjasama Kementerian Pendidikan di Hotel Radisson, hari ini.

Bengkel sehari itu merupakan kali kedua diadakan sejak pelaksanaan program BTEC pada tahun 2011 untuk meneliti struktur program Perniagaan BTEC di sekolah-sekolah menengah dengan melihat kepada kaedah penilaian dan bahan penilaian sampel, mengkaji semula jaminan kualiti dan model pemarkahan.

Selain itu, bengkel ini juga memberi peluang kepada para peserta untuk bertanya soalan dan bertukar-tukar pandangan bersama Pakar Program Hospitaliti BTEC dari Pearson (UK) Education, Dr. Micheal Coram.

Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan di Jabatan Sekolah-sekolah, Dayang Marina Chek Bujang menjelaskan, grid penilaian pemarkahan untuk program BTEC akan dapat membantu serta menggalakkan pembelajaran pelajar yang lebih produktif dan dapat memupuk kemahiran pembelajaran kendiri sesuai dengan bakat dan kadar pembelajaran mereka.

Program BTEC ialah kursus berorientasikan dan berdasarkan portfolio pelajar individu.

Dr. Michael Coram ketika menyampaikan bengkel BTEC Level 2 di Hotel Radisson.
Dr. Michael Coram ketika menyampaikan bengkel BTEC Level 2 di Hotel Radisson.

Oleh itu, penganugerahan sijilnya merupakan proses berterusan dan bergantung kepada kemajuan dan penyiapan kerja kursus oleh pelajar individu.

BTEC direka untuk menyediakan kemahiran kepada para pelajar dengan menawarkan beberapa peringkat bermula dari Entry Level (Foundation Learning) sehingga ke peringkat profesional.

Pada masa ini, hanya Diploma Peringkat 1 dan 2 ditawarkan di sekolah-sekolah menengah kerajaan.

Setakat ini, kira-kira 2,000 orang pelajar telah berjaya menamatkan BTEC Level 2 di bawah program lanjutan Art & Design, Pentadbiran Perniagaan, IT, Hospitaliti dan Sukan dengan sebilangan lagi telah melanjutkan pelajaran ke IBTE, institusi swasta, memasuki anggota beruniform atau bekerja dalam perkhidmatan awam yang berkaitan dengan program BTEC yang mereka amalkan dan pelajari.

Bengkel ini merupakan salah satu daripada tiga bengkel yang dijalankan menerusi Program BTEC Level 2 selepas Bengkel BTEC Business and Art & Design Programmes pada 4 Mei lalu.